Nasional

KKDW peruntuk RM1.7 juta digitalkan usahawan desa

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan RM 1.7 juta ringgit untuk Program Pendigitalan Usahawan dengan menyasarkan seribu usahawan mendigitalkan perniagaan mereka.

Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, inisiatif melalui platform Desamall ini adalah strategi di bawah Teras 2 Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) iaitu Keusahawanan Pemacu Pembangunan Ekonomi menerusi pernyataan dasar Membangun Produk dan Memperluaskan Pasaran Termasuk Perniagaan Dalam Talian (E-Commerce).

Modul latihan program Pendigitalan Usahawan Desa Desamall ini merangkumi pendigitalan penyediaan kunci kira-kira, pengurusan stok di gudang dan di kedai, pengurusan gerbang pembayaran, akses internet
yang optimum dan kemahiran-kemahiran lain berkaitan perniagaan.

“Kita lihat pelbagai program keusahawanan diketengahkan bagi membantu usahawan kecil menjalankan perniagaan dalam talian melalui platform e-dagang, memahami kebolehpasaran produk dan khidmat
dalam strategi penjenamaan,” katanya pada majlis perasmian Program Pendigitalan
Usahawan Desa Siri 1/2023 di Putrajaya hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Bahagian Pembangunan Ekonomi Komuniti KKDW, Mohd Sabri Ramly dan Pengarah Urusan Syarikat eLokal dan Pentadbir Desamall, Ahmad Shah Wahid.

Jelas Rasmlan, program ini telah diperkenalkan pada tahun 2022 dan sebanyak 3 siri program dilaksanakan di Putrajaya, Pulau Pinang dan Sabah yang memanfaatkan seramai 706 usahawan di bawah program pendigitalan usahawan ini.

Sehingga 31 Disember 2022, jumlah jualan terkumpul melalui program Desamall adalah sebanyak RM5.169 juta dan Stock Keeping Unit (SKU) sebanyak 28,255 di semua platform eDagang. Manakala, seramai 4,070 usahawan desa menyertai program Desamall dan memasarkan produk secara dalam talian di platform e-Dagang.

Tambah beliau, KKDW melalui program Desamall sentiasa progresif memanfaatkan teknologi bagi memastikan inisiatif ini terus kekal relevan serta lestari bagi memenuhi keperluan usahawan terutamanya di luar bandar.

Secara am, kuasa digital mencetus fenomena baharu keusahawanan.

Kemahiran berniaga dalam memasarkan produk dan perkhidmatan secara talian melalui platform e-dagang seperti Lazada, Shopee, Youbeli  memberi ruang untuk usahawan meneroka lebih jauh. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button