Politik

BN negeri berpegang pada muafakat tentukan keputusan lantik Ahli Majlis

SUNGAI SIPUT 14 Feb. – Semua parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) perlu berpegang pada semangat muafakat yang merupakan asas kepada pengukuhan gabungan tersebut.

Ini termasuklah dalam soal memutuskan sesuatu perkara yang memerlukan kesepakatan dan bukan keputusan satu pihak.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Dato’ Mohd Zolkafly Harun berkata, BN tetap berpegang kepada konsep bermesyuarat.

Menurut beliau, dalam soal pengagihan jawatan misalnya sebagai Ahli Majlis, ia tidak boleh ditentukan oleh satu parti sahaja, sebaliknya secara kolektif.

“Kita harus menerima hakikat bahawa BN hanya menang kecil dalam Pilihan Raya Umum ke-15 yang lepas.

“Jadi, dalam pengagihan jawatan (Ahli Majjlis) tidak boleh buat keputusan solo (sendiri). Kena hormat keputusan parti lain yang menang besar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap
merasmikan Persidangan Tahunan Parti
Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF) negeri Perak Ke-30 di Dewan Persidangan Bangunan UMNO Sungai Siput pada Sabtu lalu.

Turut hadir Presiden IPF Kebangsaan, Datuk T. Loganathan dan Pengerusi IPF negeri Perak, V. Manickam.

Sebelum ini, Parti IPF negeri Perak ada menyuarakan permintaan agar diberi pertimbangan bagi mengisi jawatan Ahli Majjlis dalam pentadbiran pihak berkuasa tempatan.

Parti IPF telah menjadi sebahagian daripada parti komponen BN sejak 30 tahun lalu.

Dalam pada itu kata Mohd Zulkafli, UMNO yang merupakan parti utama dalam komponen BN turut berhadapan dengan kekalahan apabila gagal memenangi banyak kerusi Parlimen pada PRU lepas.

Katanya, UMNO tewas banyak kerusi antaranya disebabkan isu dalaman parti termasuk tindakan pihak berpengaruh menggagalkan kemenangan.

Sementara itu, antara lain dalam konvensyen semalam IPF negeri Perak meluluskan enam usul yang dibawa termasuk menyokong sepenuhnya Datuk Seri Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak.

Usul lain ialah ikrar setia di belakang BN, memelihara dan mempertahankan hal ehwal masyarakat India dan mengekalkan semua sekolah jenis kebangsaan Tamil serta para guru

Dua usul seterusnya ialah menambah peluang pekerjaan dalam sektor awam kepada masyarakat India yang berkelayakan dan meningkatkan pendidikan dalam kalangan belia India pada semua peringkat termasuk kemahiran.

(Visited 137 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button