Kita tidak sepatutnya berhadapan dengan pilihan raya pada masa ini
ORANG ramai sepatutnya kini bertungkus-lumus berusaha memulihkan kembali kehidupan masing-masing, setelah negara sedang memasuki fasa endemik dari pandemik Covid-19.
Orang politik pula sepatutnya kini menumpukan usaha untuk membantu rakyat yang masih bertatih selepas melalui fasa dugaan berat di dalam kehidupan termasuk kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.
Bagi mereka yang berniaga masing-masing baharu bermula untuk memulihkan syarikat masing-masing setelah kegiatan ekonomi mulai bergerak.
Bagaimanapun kerana keegoan dan ketamakan kuasa orang politik rakyat Johor dipaksa menghadapi pilihan raya negeri dan selepas ini sudah pasti seluruh negara akan dipaksa untuk menghadapi pilihan raya umum, sedangkan mandat yang ada sepatutnya tamat pada tahun hadapan.
Sedangkan ramai rakyat Johor yang bergantung kerja di Singapura kehilangan pekerjaan dan ramai juga yang tidak dapat pulang kerana sempadan negara ditutup.
Mengapa pilihan raya negeri Johor diadakan sekarang?
Jawapannya mudah sahaja, kerana UMNO telah menang bergaya di Melaka tempoh hari. Jadi sudah pasti UMNO mahu mengekal momentum itu hingga ke pilihan raya umum.
UMNO dan Barisan Nasional (BN) memilih waktu ini kerana pada pemimpin mereka tahu bahawa jumlah kes Covid-19 bakal melonjak lebih 30,000 kes dan kematian turut meningkat mendadak.
Ini akan menyebabkan orang ramai takut untuk keluar mengundi, terutamanya orang Cina. Formula itu telah berjaya ketika di Melaka, telah memberi peluang MCA iaitu komponen BN turut menang besar, kerana pengundi Cina tidak keluar mengundi dek kerana bimbangnya penularan wabak.
Seperti juga Melaka, Johor merupakan kubu kuat UMNO jadi parti itu mempunyai pengundi tegar yang tinggal di negeri berkenaan cukup untuk memenangkan mereka.
UMNO memang mengharapkan pengundi luar tidak pulang mengundi dan ini memberi kemenangan mudah kepada parti itu sekali lagi.
Slogan kestabilan masa hadapan, hanya satu pembohongan yang cuba disogok ke dalam pemikiran masyarakat.
Tiada siapa dapat memaksa rakyat untuk mengundi pada pilihan raya negeri kali ini kerana mereka sendiri bergelut dengan kehidupan dan penularan wabak yang membimbangkan. Situasi inilah digunakan oleh UMNO untuk meraih kejayaan.
Parti-parti yang bertanding di Johor juga sedar akan situasi itu, oleh kempen yang dijalankan lebih kepada menyedarkan kepada masyarakat keseluruhan akan sikap buruk dan taktik kotor para pemimpin UMNO.
Dengan harapan penjelasan demi penjelasan akan dapat menghalang UMNO daripada kembali berkuasa memerintah negara ini, kerana di Johor pihak lawan memang tidak mampu berbuat apa-apa.
UMNO akan menang besar dengan memaksa RM150 juta duit rakyat dibelanjakan untuk diadakan pilihan raya negeri.
Sebulan dua lagi pilihan raya umum pula akan diadakan dengan anggaran 21 juta pengundi membabitkan kos pengurusan pilihan raya sebanyak RM1 bilion.