Berita

“Kita tegas hentikan rompakan terhadap rakyat” – Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar akui ada dalam kalangan tokoh-tokoh lama yang tidak senang melihat usaha beliau memerangi perompak negara.

Namun tegasnya, sesiapa yang telah ‘mengambil’ harta rakyat perlu memulangkannya semula.

“Sekarang kita boleh ambil tindakan tegas, hentikan rompakan. Saya tahu ada kalangan pembesar, tokoh-tokoh lama dia kata buat apa mahu dikorek yang lama-lama. Bukan saya korek, harta rakyat mesti dipulangkan.

“Kalau lihat naratif yang lama-lama, dalam kalangan orang yang ada kes, kalau diteliti betul-betul..dia takut disiasat. Kamu sudah ambil, pulangkan balik. Itu saja yang saya perlukan.

“Bagi saya, kita pertahankan Perlembagaan, kita tingkatkan makna bahasa dan budaya, Islam, membasmi kemiskinan, keharmonian antara kaum, menghormati hak mereka dan yang utama hentikan amalan guna kuasa dan kedudukan untuk rompak harta rakyat. Ini yang patut ditekankan parti kerajaan perpaduan dan pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Orientalism Paintings di Muzium Kesenian Islam di ibu negara, hari ini.

Kerajaan perpaduan pimpinan Anwar itu dibentuk hasil campuran BN-PH di mana ia turut dianggotai Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menjawat sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kemajuan desa dan wilayah dan kini sedang dibicarakan bagi 47 pertuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram

Dalam pada itu, Anwar menyelar kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa PH tidak tak sesuai memimpin kerajaan kerana dikuasai bukan Melayu.

“Tanya dia di mana bahasa, budaya, Islam, seni, sastera yang kita lakukan khianat. Negara ini pelbagai kaum, sementara kita angkat penghayatan Islam, kita kena jaga hak semua kaum yang perlu dipelihara.

“Ini perjanjian dan jaminan keamanan negara kita. Saya tidak cenderung untuk rakyat dipesongkan dengan sentimen seperti ini,” katanya

Semalam, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang mendakwa kerajaan BN-PH lemah kerana tidak diterajui parti Melayu Islam untuk memimpin Malaysia yang majoriti rakyatnya Melayu dan beragama Islam.

Mengulas lanjut, Anwar berkata melalui kenyataan itu, Abdul Hadi dilihat cuba membawa naratif politik kolot dan jumud.

“Dia kira (majoriti) tak betul, dia perlu buat kiraan yang betul. Apa yang penting bukan soal jumlah majoriti (kaum) atau tidak, yang penting dasar yang kita tinggalkan ini, apa yang kita khianat orang Melayu.

“Yang kita curi tanah Melayu, curi saham, yang curi projek-projek, jangan gunakan politik kolot dan jumud. Yang tak dijawab mengapa sekarang kita boleh ambil tindakan tegas, hentikan rompakan (wang rakyat),” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button