Rencana

Kisah pelacur tua dan gempa

SAYA Borhan Abu Samah telah bertugas sebagai wartawan lebih 26 tahun. Sebahagian besar karier saya ialah dengan akhbar Utusan Malaysia.

Sekarang saya menjalankan usaha mengendalikan portal berita Suara Merdeka selepas Utusan Malaysia ditutup sejak setahun lalu.

Walaupun saya turut dipanggil bagi membuka kembali Utusan Malaysia, tetapi selepas tiga bulan saya memutuskan untuk kembali menulis di Suara Merdeka dan melepas jawatan sebagai Pengarang Berita di akhbar tersohor itu, bagi mengelakkan berlaku konflik kepentingan.

Lagipun rakan-rakan di Suara Merdeka ialah mereka yang sama-sama melalui detik sukar kehilangan pekerjaan dan apabila lepas fasa sukar rasa tidak wajar saya meninggalkan rakan-rakan terumbang-ambing.

Biarlah kami bersama-sama bersusah payah mencari sesuap nasi dengan menggunakan kemahiran menulis walaupun di platform Suara Merdeka yang masih lagi bertatih.

Utusan Malaysia satu jenama yang besar, oleh kerana membawa nama media arus perdana, kebebasan berkarya agak terhad. Ada batas yang tidak kelihatan yang perlu dipatuhi dan akan kita sedar apabila kita melanggarnya.

SEKATAN MEDIA DI MALAYSIA

Walaupun batas halangan itu makin kurang kerana media di negara ini sudah semakin terbuka dan bos Utusan Malaysia yang baharu lebih terbuka pemikirannya, tetapi ia tidak memberi cukup kepuasan untuk saya berkarya.

Sepanjang tempoh lebih 26 tahun menjadi wartawan banyak kisah yang saya simpan di dalam kotak memori sahaja, kerana sebelum ini kerajaan Malaysia masih terkongkong dengan tanggapan sempit mengenai kebebasan media berbanding negara tetangga seperti Indonesia.

Jadi saya akan berkongsi kisah yang banyak tersimpan selama ini. Kisah ini berlaku kira-kira 11 tahun yang lalu. Ketika itu saya bertugas sebagai koresponden luar negara di Jakarta, Indonesia.

KISAH GEMPA DI PADANG

Saya mendapat berita kawasan Kota Padang di Sumatera telah dilanda gempa kuat menyebabkan kebanyakan bangunan ranap.

Selepas memaklumkan kepada ibu pejabat saya terus mengambil penerbangan ke Padang, walaupun ibu pejabat turut menghantar seorang wartawan Saiful Haizan Hasam dan jurugambar Zaki Jilan.

Sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau di Kota Padang saya mengambil teksi terus bergerak ke lokasi gempa.

Sesampai lokasi gempa saya terkejut melihat deretan bangunan yang ranap, bangunan empat tingkat ranap menjadi satu tingkat, rumah-rumah ranap hingga menyembah bumi.

Turun dari teksi saya berlari bersama beg pakaian digalas di belakang dan beg kamera disandang bersilang kerana jalan telah tutup untuk ke Hotel Ambacang yang banyak mangsa terkorban dan terperangkap di dalam runtuhan hotel itu.

Hotel Ambacang di Kota Padang yang ramai mangsa terkorban semasa gempa pada tahun 2009. – Foto Okezone

Lebih satu kilometer juga saya berlari sambil bertanya orang ramai arah ke lokasi hotel.

Setiba di lokasi saya terus masuk ke kawasan runtuh ketika operasi menyelamat mangsa dijalankan.

Di Indonesia petugas media tidak pernah dihalang membuat liputan, cuma diingatkan supaya menjaga keselamatan oleh anggota polis yang bertugas mengawal lokasi.

Bahkan anggota polis yang terlibat dalam operasi itu tidak teragak-agak untuk memberi maklumat apabila diinterview saya.

Berbanding di Malaysia wartawan tidak dibenarkan menghampiri kawasan bencana.

MENCARI TEMPAT MENGINAP

Setelah selesai menghantar berita, baru saya mencari tempat penginapan. Masalahnya kebanyakan hotel telah ranap. Penat juga berjalan dari satu tempat ke satu tempat hingga saya tiba di lorong belakang sebuah pasar raya yang turut ranap.

Saya jumpa hotel yang masih utuh lagi berdiri kerana ia diperbuat sebahagian besar daripada papan. Rupanya bangunan yang dibina dari papan dan buluh dapat bertahan goncangan gempa.

Bagaimanapun keadaan hotel sangat daif. Saya mendapat bilik kecil yang dindingnya diperbuat daripada papan lapis dan terdapat sebuah kipas kecil.

Pintu bilik saya tidak dapat dikunci, jadi saya sendal dengan beg pakaian. Saya gagah juga mandi di bilik air hotel itu yang berkongsi dengan penghuni lain kerana situasi yang sangat kotor penuh dengan lumut hijau dan kotoran lain yang memualkan. Apa boleh buat dalam situasi darurat tidak banyak pilihan yang ada.

Saya cuba melelapkan mata kerana terlalu letih, tetapi tidak dapat kerana sering diganggu nyamuk yang terlalu banyak dan kipas kecil yang ada tidak mampu menghalau serangga itu.

MENCARI UBAT NYAMUK

Saya keluar untuk membeli ubat nyamuk, tetapi malangnya selama bertugas di Indonesia saya tidak belajar bahasa Padang. Bagaimana nak bertanya di mana kedai menjual ubat nyamuk.

Akhirnya saya berpatah balik ke rumah penginapan dan bertanyakan lelaki yang bertugas di kaunter. Setelah saya lukis ubat nyamuk dia memberitahu di dalam bahasa Padang dipanggil ubek rangik.

Sepanjang jalan saya terpaksa beratip ubek rangik, ubet rangik, ubek rangik kerana bimbang terlupa dan akhirnya dapat juga jumpa kedai yang menjual ubat nyamuk.

Balik ke bilik saya pasang ubat nyamuk. Ketika berbaring dan hampir melelapkan matang, tiba-tiba bunyi berdentum yang kuat. Saya berlari keluar dari hotel kerana memikirkan gempa sekali lagi berlaku dan hotel hendak runtuh.

Rupa-rupanya kakitangan di kaunter memaklumkan ia angkara penghuni bilik sebelah saya, mereka menyebabkan katil runtuh. Dia memaklumkan ada dua lelaki baharu masuk ke bilik sebelah saya dan katil runtuh ketika mereka sedang melakukan seks luar tabi.

Oleh kerana malu mereka telah melarikan diri. Saya fikir dalam situasi darurat ini pun masih adalah orang sanggup melakukan kebejatan.

KISAH PELACUR TUA

Semasa saya kembali ke bilik ada seorang wanita mengekori saya. Dia memperkenalkan diri. Wanita agak berusia itu bertanya jika ada kerja yang boleh dia lakukan.

Sebagai wartawan saya akan bertanyak banyak soalan. Akhirnya dia mengaku merupakan seorang pelacur, tetapi dalam keadaan gempa dia terdesak kerana kehilangan pendapatan.

Barulah saya faham rumah tumpangan yang saya duduk adalah tempat segala kegiatan maksiat kelas bawahan.

Simpati dengan wanita itu saya meminta dia membasuh pakaian saya dan saya akan bayarnya.

Lagipun saya tidak betah berlama-lama di dalam bilik air yang terlalu kotor. Cukup untuk melepaskan sesak dan mandi ringkas sahaja.

Esok paginya saya memberi pakaian saya untuk dibasuh sebelum bergerak ke lapangan terbang untuk mengambil rakan setugas tiba dari Kuala Lumpur.

Apabila saya ronda di pekan berkenaan baharu saya sedar, kebanyakan hotel telah terputus bekalan air dan elektrik. Penghuni hanya diberikan air satu baldi untuk satu hari.

Ketika itu saya bersyukur walaupun menginap di hotel ‘ayam’ tetapi bekalan air tidak terputus dan elektrik dibekalkan menggunakan set janakuasa petrol, walaupun bilik air sangat kotor.

Saya menyewa sebuah MPV bersama pemandunya, setelah selesai membuat liputan kami pulang pada sebelah malam dan melihat pakaian telah siap dibasuh serta dilipat dan diletakkan di atas katil usang saya.

Saya bertanya lelaki di kaunter ke mana pergi wanita tersebut pergi untuk membayar upahnya, tetapi dia tidak kelihatan.

Tidak lama selepas itu wanita berkenaan sampai, ketika ini saya pindah ke bilik yang lebih besar yang mempunyai tiga buah katil, kerana dua lagi rakan setugas telah tiba.

Saya perkenalkan wanita itu kepada rakan-rakan saya dan memaklumkan jika mereka mahu menggunakan khidmatnya untuk membasuh baju.

Kami bersetuju untuk membayar wanita itu supaya mengemas bilik dan membasuh pakaian kami.

Bagaimanapun esoknya ketika pulang dari lapangan pada sebelah malam, saya dimaklumkan petugas di kaunter wanita itu telah tiada dan dia telah mengikut seorang lelaki dari Papua serta tidak tahu ke mana tujuannya.

Saya agak kesal kerana tidak dapat membayar dan menunaikan janji saya kepada wanita itu. Saya doakan dia dalam keadaan baik dan dipermudahkan urusan hidup.

Pengajaran yang saya dapat ialah kita perlu bersyukur dengan apa yang dikurniakan oleh tuhan, walaupun hotel yang buruk dan bilik air yang kotor tetapi bekalan air yang merupakan keperluan asas sangat penting tidak terputus.

Berbanding hotel mewah lain penghuni hanya diberi air satu baldi sehari. Akhirnya selepas beberapa hari, saya sudah sebati dengan kehidupan hotel itu dan rasa jelek dengan bilik air yang berlumut terus hilang dan dapat mandi serta melepas sesak dengan selesa dan tenang.

Hinggakan rakan lain hairan kerana kami kelihatan segar setiap hari kerana telah mandi dengan selesa berbanding sesetengah mereka terpaksa tidur di dalam khemah.

Lebih malang pada tengah malam hujan lebat menyebabkan kawasan mereka berkhemah banjir dan terpaksa bertahan dengan berdiri semalaman dalam suasana dingin dan basah hingga matahari terbit.

Sekian terimakasih kerana sudi membaca, tolong kongsi dengan rakan-rakan, supaya saya dan rakan-rakan dapat meneruskan kelangsungan menguruskan portal Suara Merdeka ini.

 

 

 

 

 

 

 

(Visited 941 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button