Bukan Islam tapi teruja berkhatan
AMALAN berkhatan memang sinonim dengan umat Islam. Namun ia tidak menghalang masyarakat beragama lain daripada turut sama mengamalkannya kerana baik untuk tujuan kebersihan dan kesihatan.
Barangkali disebabkan faktor itulah juga dua kanak-kanak bukan Islam berasal dari Sarawak – Dylan anak Francis, 12, dan Aidely anak James, 11, begitu teruja untuk menyertai Program Berkhatan anjuran Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang, di sini, hari ini.
Bapa Dylan, Francis anak Kanchin, 38, berkata anaknya tidak berasa takut langsung untuk bersunat (berkhatan) malah nampak lebih bersemangat.
“Memang dia sendiri hendak datang bersunat. Tidak nampak dia takut, hanya tenang dan bersemangat,” katanya yang ditemui Bernama pada program berkenaan.
Francis memberitahu berkhatan bukanlah amalan baharu kepada keluarga mereka kerana telah diamalkan oleh masyarakatnya, iaitu kaum Iban sejak dahulu lagi.
“Jadi ini sudah menjadi perkara biasa yang perlu dilalui bagi kaum lelaki Iban,” katanya.
Bapa Aidely, James anak Jamang, 48, pula berkata keterujaan anaknya untuk berkhatan dapat dilihat sejak tiga hari yang lepas apabila dia kerap bertanyakan ‘bila mahu bersunat.
“Gembira lihat dia (Aidely) semangat. Dia ada kawan-kawan Melayu yang katakan tidak sakit jadi disebabkan ini, dia berani.
“Lagipun kalau ikut amalan nenek moyang sunat adalah baik untuk menjaga kebersihan. Atas dasar itu, anak sulung kami (abang Aidely) bersunat juga,” katanya yang mempunyai empat anak.
Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang Hazarul Azly Hamzah, program berkenaan secara keseluruhannya melibatkan 82 peserta termasuk 15 kanak-kanak asnaf, yang dikhatankan secara percuma hasil tajaan pihaknya dan juga orang ramai.
Katanya, sejak dianjurkan pada 2017, ini adalah kali pertama program itu mendapat penyertaan daripada kanak-kanak bukan Islam.
“Bagi memastikan kanak-kanak ini tidak berdebar, antara usaha yang kami buat ialah melakukan perarakan, pertunjukan silat, mengamalkan tradisi ‘mandi kecut’ dan menampilkan adiwira Transformers,” katanya. – BERNAMA