fbpx
Bola SepakSukan

Mereka banyak bercakap, inginkan publisiti – Kim Swee

KETUA Jurulatih skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee tidak senang dengan andaian ditimbulkan sesetengah pihak terhadap kegagalan pasukannya pada temasya Sukan SEA 2019 di Filipina.

Skuad bimbingannya yang dibarisi antara pemain muda terbaik negara mempamerkan prestasi hambar, hanya mengumpul empat mata daripada empat perlawanan, malah diaibkan Kemboja 1-3 sekali gus gagal mara ke peringkat separuh akhir.

Kegagalan itu menyaksikan pelbagai kritikan dilempar terhadap prestasi barisan pemainnya selain turut mempertikaikan penggunaan formasi 3-4-3 dalam pasukan kendaliannya.

Jurulatih yang membawa Malaysia merangkul emas pada edisi Sukan Edisi 2011 di Jakarta itu menyifatkan tindakan sesetengah pihak itu sebagai meraih publisiti.

“Tiada masalah dari segi formasi kita, hanya segelintir ‘so called’ pembaca dan pemberita sukan yang mempertikaikan di mana saya percaya mereka ini banyak bercakap serta inginkan publisiti,” katanya kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam tadi.

Pasukan kebangsaan di bawah bimbingan Tan Cheng Hoe menerapkan formasi 4-3-3 yang merupakan formasi asas DNA bola sepak Malaysia dipanggil ‘Cara Malaysia’ yang dilancarkan Julai lepas.

Skuad Harimau Malaya mempamerkan prestasi cemerlang menerusi corak formasi itu, namun formasi 3-4-3 digunakan Kim Swee turut berjaya menghasilkan permainan berkualiti serta melakar kemenangan membanggakan termasuk kejayaan menundukkan Korea Selatan 2-1 di temasya Sukan Asia 2018.

“Ketika kita menang dalam kejohanan yang lepas dengan sistem yang sama ia tak dipertikaikan. Jadi ini semua sesuatu hanya nak menimbulkan beberapa isu apabila pasukan tewas dan ia kebiasaan yang akan berlaku.

“Bagi saya tiada masalah dengan formasi sama ada 3-4-3 atau 4-3-3 atau apa jua formasi,” Jelas Kim Swee.

Temasya Sukan SEA 2019 di Filipina adalah tugas terakhirnya bersama skuad B-22 negara selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam, memutuskan untuk tidak melanjutkan kontraknya yang berakhir hujung tahun ini.

“Untuk 10 tahun atau 5 kali edisi Sukan SEA banyak pengalaman saya lalui di mana ini pendedahan pengalaman cukup baik. Manis…pahit yang dapat saya pelajari,” tambah Kim Swee. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button