Ekonomi

Keuntungan suku tahun pertama Sime Darby Property berganda

Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) merekodkan pemulaan yang kukuh untuk tahun kewangan 2024 (“TK2024”) dengan mencapai jumlah pendapatan suku tahun pertama yang tertinggi sejak pengasingannya pada tahun 2017.

Hasil jumlah pendapatan sebanyak RM978.7 juta untuk suku kewangan pertama berakhir 31 Mac 2024 (“Q1 TK2024”) telah mencatat peningkatan sebanyak 42.8% daripada RM685.3 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.

Dipacu oleh tahap jualan yang lebih tinggi dan pelaksanaan projek yang efektif, Syarikat mencatatkan keuntungan operasi (“OP”) sebanyak RM196.6 juta, yang menandakan peningkatan sebanyak 73.1% tahun-ke-tahun (“YoY”) daripada RM113.5 juta and keuntungan sebelum cukai (“PBT”) sebanyak RM180.8 juta, yang menunjukkan kenaikan sebanyak 84.6% YoY daripada RM97.9 juta. Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (“PATAMI”) meningkat sebanyak 103.7% YoY kepada RM123.6 juta.

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican berkata, “pencapaian cemerlang Q1 TK2024 telah melangkaui jangkaan kewangan dan operasi kami, dan Syarikat akan kekal mempelbagaikan portfolio produk serta arus pendapatannya.

“Segmen perindustrian juga merupakan penyumbang utama kepada prestasi jualan kesuluruhan Syarikat untuk suku pertama tahun ini.”

Mengulas mengenai penutupan akhir (final close) dana pembangunan perindustrian  Azmir berkata: “Kami amat berbesar hati untuk mengumumkan IDF telah ditutup dengan RM1.0 bilion. Pencapaian ini menunjukkan keyakinan dan sokongan daripada para pelabur institusi dan asing. IDF merupakan dana pembangunan hartanah patuh Syariah antara Sime Darby Property dan LOGOS SE Asia Pte. Ltd. (“LOGOS Property”) untuk membangunkan aset perindustrian dan logistik seluas 177 ekar di Bandar Bukit Raja.”

Q1 TK2024 YoY Mengikut Segmen

Segmen Pembangunan Hartanah (Property Development) menyumbang sebanyak RM925.6 juta atau 94.6% daripada jumlah keuntungan Syarikat untuk Q1 FY2024, menunjukkan peningkatan sebanyak 45.4% berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

Pencapaian ini didorong oleh peningkatan kepelbagaian portfolio produk dengan sumbangan yang tinggi daripada produk perindustrian, jualan yang laris, kemajuan kerja-kerja pembinaan merentas pembangunan-pembangunan utama Syarikat termasuk Bandar Bukit Raja, Bandar Serenia, Ara Damansara, Putra Heights, SJ7 dan Elmina Business Park serta pengewangan tanah (“land monetisation”) di Kedah. PBT meningkat 84.3% YoY kepada RM170.3 juta.

Pendapatan segmen Pelaburan dan Pengurusan Aset (“Investment and Asset Management” atau “IAM”) naik sebanyak 10.7% YoY kepada RM29.1 juta. Peningkatan ini didorong oleh pertumbuhan daripada 85% kepada 90% untuk kadar penghunian dalam sub-sektor runcit (retail) serta catatan pengunjung yang lebih tinggi sewaktu musim perayaan, terutamanya di KL East Mall. Peningkatan PBT segmen kepada RM12.3 juta disokong oleh sub-sektor runcit yang lebih kukuh.

Pelancaran dan Jualan Produk Q1 TK2024

Syarikat telah melancarkan produk dengan jumlah Nilai Pembangunan Kasar (Gross Development Value atau GDV) sebanyak RM820.2 juta. Produk-produk merangkumi lot perindustrian dan kilang berkembar dua tingkat bernilai RM588.7 juta dalam jumlah GDV telah dilancarkan di Taman Perindustrian Bandar Bukit Raja 3, dengan kadar pengambilan sebanyak 60.6% setakat 28 April 2024.

Selain itu, pejabat kedai dua tingkat di The Corak, Bandar Serenia yang bernilai RM150.2 juta dalam GDV telah mencapai kadar pengambilan sebanyak 86.4% setakat 28 April 2024.

Sime Darby Property meneruskan momentum jualannya yang kukuh di Q1 TK2024 dengan pencapaian sebanyak RM955.9 juta yang menunjukkan peningkatan sebanyak 16.9% berbanding suku keempat tahun kewangan 2023 (“Q4 TK2023”).

Strategi Syarikat untuk mempelbagaikan tawaran produk terbukti efektif dengan segmen industri merangkumi 30.2% daripada jualan keseluruhan pada suku ini, sementara kediaman bertanah dan kediaman bertingkat menyumbang sebanyak 26.7% dan 24.5% masing-masing.

Projek utama yang menyumbang kepada prestasi cemerlang ini termasuk produk-produk perindustrian di Bandar Serenia, dan produk-produk kediaman bertanah seperti Elmina Green 7 dan The Eight di Bandar Elmina, serta Serenia Anisa (1 & 2) di Bandar Serenia.

Produk-produk kediaman bertingkat termasuk Hype Residences di Subang Jaya, TRiARA Residences di Ara Damansara, dan Serasi Residences (1 & 2) di Putra Heights turut menyumbang kepada jumlah jualan pada suku ini.

Pencapaian jualan Syarikat yang kukuh pada Q1 TK2024 telah didorong oleh kepelbagaian tawaran produk sewaktu Kempen Dragon Deals sempena Tahun Baru Cina. Inisiatif yang mencapai tempahan jualan sebanyak RM351.8 juta untuk 376 buah hartanah ini mencerminkan daya tarikan pasaran dan penglibatan pelanggan yang tinggi.

Pencapaian Kewangan dan Operasi Yang Lain

Jualan belum dibil Syarikat sebanyak RM3.6 bilion memastikan keterlihatan pendapatan yang stabil untuk tiga tahun akan datang. Setakat 28 April 2024, tempahan semasa Sime Darby Property adalah RM2.4 bilion, dengan inventori lengkap adalah bernilai RM466.3 juta dalam GDV. Dengan baki tunai sebanyak RM647.1 juta dan nisbah hutang bersih sebanyak 23.8%, Sime Darby Property berkedudukan baik untuk pertumbuhan yang mampan serta kestabilan kewangan.

Syarikat juga meneruskan rentak kemenangangya di Q1 TK2024 dengan penghargaan yang tertinggi di Putra Brand Awards. Kemenangan anugerah Platinum for Property Development menandakan kepercayaan orang ramai dengan jenama Sime Darby Property, serta mengiktiraf komitmen Syarikat untuk memperkenalkan produk-produk yang inovatif dan lestari.

Pusat Ilmuan Hutan Hujan Tropika Elmina (“Elmina Rainforest Knowledge Centre” atau “ERKC”) juga memperoleh satu lagi anugerah berprestij dalam Kategori Alam Sekitar di FIABCI Malaysia Property Award 2023, yang mengukuhkan komitmen terhadap pemuliharaan alam sekitar dan penglibatan masyarakat.

Pencapaian ini ialah bukti usaha Syarikat yang berterusan dalam mencapai kecemerlangan dan kepimipinan dalam industri. Prospek Untuk TK2024 Sime Darby Property menjang kakan prospek yang memberangsangkan untuk TK2024, didorong oleh segmen perindustrian yang kukuh dan peningkatan secara kesuluruhan dalam pasaran kediaman.

Syarikat bersedia untuk pertumbuhan yang lebih luas dengan pelancaran dua projek utama iaitu The Ophera di KLGCC Resort dan Elmina Lakeside Mall. Pembangunan ini mencerminkan pendekatan proaktif Syarikat dalam memenuhi permintaan pasaran dan memperkayakan kehidupan pelanggan.

Azmir berkata: “Prestasi Q1 yang kukuh menunjukkan bahawa Syarikat berada di landasan yang tepat dari segi strategi serta pembangunan dan tawaran produk. Berpandukan Matlamat Syarikat untuk menjadi Pengganda Nilai kepada Masyarakat, Perniagaan, Ekonomi dan Planet, kami akan mengekalkan disiplin untuk memberikan nilai yang lebih besar kepada pihak berkepentingan kami.” – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button