Ketua Pemuda Pas dilantik Ketua Pemuda PN
KETUA Pemuda Pas Ir Khairil Nizam Khirudin telah dilantik sebagai Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN).
Ketua Angkatan Anak Muda (Armada) Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengumumkan pelantikan tersebut hari ini.
Wan Ahmad Fayhsal yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, Pemuda Bersatu akan memberi sokongan penuh kepada Khairil Nizam dalam memperkasakan anak muda.
“Sekalung tahniah kepada Ir. Ts. Khairil Nizam atas pelantikan sebagai Ketua Pemuda Perikatan Nasional.
“Armada Bersatu Malaysia akan memberi kerjasama penuh kepada agenda pemerkasaan anak muda di bawah kepimpinan beliau. Siru ala barakatillah!” kata Wan Ahmad Fayhsal.
Khairil Nizam juga adalah Ahli Lembaga Pengarah Bina Darulaman Berhad (BDB) berkuatkuasa 6 September lalu sebagai lantikan politik oleh kerajaan Kedah.
Selain Bersatu dan Pas, Perikatan Nasional dianggotai dua parti lain iaitu Parti Solidariti Tanah Airku dan Parti Maju Sabah.
Parti Perikatan Nasional (PN) sudah didaftarkan dengan sijil pendaftaran bernombor PPM-019-14-07082020 yang dilulus dan ditandatangani Pendaftar Pertubuhan (ROS) berkuat kuasa pada 7 Ogos lalu.
PN didaftarkan di bawah Kategori Politik, selaras peruntukan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335).
Sijil Pendaftaran, logo dan Perlembagaan parti ditandatangani dan dikemukakan kepada PN, sejurus pendaftaran gabungan itu diluluskan.-SM