Ekonomi

Ketidaktentuan global boleh bantu tingkat nilai ringgit kata penganalisis

RINGGIT dibuka tinggi berbanding mata wang utama kecuali dolar AS pagi ini, kata seorang penganalisis.

Memetik laporan Bernama, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Afzanizam Rashid berkata, ringgit berada dalam kedudukan terlebih jual untuk beberapa lama.

“Oleh itu, beberapa pembetulan boleh dijangka. Sebagai contoh, ringgit boleh mengukuh sebentar-sebentar terutamanya apabila titik data mendedahkan beberapa kelemahan dalam ekonomi global.

“Indeks pengurus pembelian global (PMI) terkini bagi sektor pembuatan pada Julai ialah pada 48.7 mata, iaitu di bawah garisan persempadanan 50 mata, menunjukkan lebih banyak perniagaan di seluruh dunia menjadi pesimis,” katanya kepada Bernama.

Pada masa yang sama, beliau menyatakan bahawa pelabur sedang menunggu ucapan pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS Jerome Powell pada Simposium Jackson Hole malam ini yang dijangka memberi lebih banyak penerangan mengenai hala tuju dasar monetari AS.

“Ia merasakan bahawa Fed tidak mungkin memberikan mesej yang jelas walaupun terdapat data yang membayangkan bahawa peralihan dalam pendirian dasar monetari adalah mungkin.

“Sehubungan itu, ringgit sepatutnya kekal sekitar RM4.64-RM4.65 berbanding dolar AS,” katanya.

Pada pukul 9 pagi, mata wang tempatan turun sedikit pada 4.6535/4.6570 berbanding dolar AS daripada 4.6435/4.6485 pada penutupan Khamis.

(Visited 234 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button