Ekonomi

Ketepikan kepentingan politik, selesai isu kesihatan,ekonomi

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DEWAN MELAYU) menggesa parti politik ketepikan sementara kepentingan politik, sebaliknya menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong berusaha menyelesaikan kemelut ekonomi dan kesihatan secepat mungkin.

Presidennya, Abdul Halim Husin berkata, DEWAN MELAYU mengambil inisiatif menghimpunkan hampir 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu-Islam untuk duduk semeja dan mencari penyelesaian.

Katanya, semua NGO bersepakat dalam isu membabitkan kesihatan, kesejahteraan dan perpaduan nasional walaupun tidak sependapat dalam banyak perkara lain.

“Kami berharap ahli politik juga dapat mengambil iktibar daripada usaha suara ketiga ini dan mengenepikan sementara kepentingan politik dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong agar berusaha mencari jalan keluar kepada kemelut ekonomi dan kesihatan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, DEWAN MELAYU menyambut positif pelantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri bagi portfolio Hal Ehwal Jalinan Komuniti, Komunikasi Masyarakat & Pembangunan Sosio-Ekonomi.

“Perlantikan ini sudah tentu satu tanggungjawab cukup besar tatkala rakyat masih bergelut dengan krisis ekonomi dan kesihatan dan negara masih ‘ribut’ dengan cerita politik yang tidak kunjung reda.

“DEWAN MELAYU berharap pelantikan Ahmad Faizal mampu memberi kelegaan kepada situasi tidak menentu ini, dan menjadi jambatan kepada hubungan NGO dengan barisan kepimpinan kerajaan yang lebih proaktif,” katanya.

Abdul Halim berkata, sebagai pertubuhan yang membela nasib golongan usahawan dan orang Melayu, DEWAN MELAYU sentiasa menuntut kerjasama sihat di antara kedua-dua belah pihak bagi memastikan program dan dasar dilaksanakan kerajaan dapat terus dinikmati rakyat.

“Pandemik COVID-19 yang sedang melanda negara semenjak hampir dua tahun lalu telah memberi kesan amat teruk kepada semua. Banyak laporan telah diterima mengenai bantuan yang lambat atau tidak sampai.

“Begitu juga nasib jutaan penjaja Melayu yang terumbang-ambing dan terputus makanan, atau pemain industri dalam sektor utama seperti percetakan, perkhidmatan professional, hartanah dan banyak lagi yang bergantung kepada intervensi daripada kerajaan,” katanya.

Beliau menegaskan, DEWAN MELAYU sentiasa cakna akan rintihan serta masalah yang dihadapi di luar sana, namun berhadapan tugas sukar untuk membantu sekiranya tidak mendapat tindakbalas baik daripada kerajaan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button