Rencana

Sangkar beruk: YB itu Yang Berhormat atau Yang Beruk?

SEMALAM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar mengingatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu untuk tidak menjadikan dewan yang mulia sebagai kandang beruk.

Titah baginda itu dikeluarkan ketika merasmikan pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Keempat DUN Johor ke-14

“Ingin saya ingatkan DUN ini tempat untuk berbincang dan membuat ketetapan bagi kepentingan rakyat dan negeri Johor.

“Jangan cemarkan dewan ini dengan perangai buruk, ini adalah dewan mulia bukan dewan sangkar beruk,” titah baginda.

Persoalannya tidakkah pemimpin politik berasa malu ditempelak sedemikian rupa oleh seorang sultan dalam dewan yang menjadi tempat pemimpin yang dipilih untuk menyuarakan kepentingan rakyat.

Dan agaknya mengapa Sultan Ibrahim terpaksa mengeluarkan titah yang begitu rupa mengingatkan pemimpin politik yang dipilih supaya tidak berperangai buruk sehingga ke tahap menjadikan dewan yang mulia bertukar menjadi sangkar beruk.

Mungkin Sultan Ibrahim sudah jelak dengan perangai pemimpin-pemimpin politik yang saling berebut kuasa sedangkan rakyat ketika ini dihimpit derita akibat pandemik Covid-19.

Ramai yang hilang pendapatan dan ramai yang hilang keluarga akibat wabak maut itu. Namun apa yang dilakukan oleh ahli politik ialah saling jatuh menjatuhkan antara satu sama lain bagi memastikan parti masing-masing berkuasa.

Jika pemimpin politik tidak berasa malu dengan tempelak yang keras dari seorang sultan ternyata dihati mereka kini hanyalah kuasa, kerusi, kedudukan, kroni dan hanya mahu menjadi perdana menteri.

Kalau mereka rasa apa yang dititahkan oleh Sultan Johor itu palsu bolehlah mereka melihat sendiri rakaman video kelakuan sesetengah pemimpin ketika berbahas di dewan mulia.

Kelakuan jelak itu boleh ditonton ketika perbahasan di Dewan Rakyat yang disiarkan secara langsung di media sosial.

Ya, mereka boleh melihat sendiri betapa buruknya perangai terjerit-jerit, terpekik-pekik ibarat dewan tersebut dipenuhi oleh beruk, monyet, orang utan, ungka yang ada dalam filem The planet of the apes.

Ahli-ahli yang berhormat perlu ambil perhatian yang serius terhadap teguran Sultan Ibrahim. Ini kerana rasa hormat rakyat semakin hari semakin tipis terhadap mereka.

Jangan sampai rakyat juga menukar gelaran YB dari Yang Berhormat kepada Yang Beruk.-SM

(Visited 386 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button