MASALAH yang melanda negara sekarang bukan berpunca daripada rakyat, tetapi disebabkan permasalahan dalam mencari kerjasama dalam kalangan ahli parlimen.
Itu yang ditegaskan Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin.
Menurut Dr. Noor Nirwandy, satu daripada penyelesaian konflik sekarang ialah untuk mendapatkan kesepakatan untuk menguruskan isu Covid-19 secara bersama.
“Bila ada jawatankuasa Parlimen yang dianggotai semua parti, semua ahli parlimen dan dun dapat turun padang dan mencari apa yang dimahukan rakyat untuk dibentang.
“Barulah isu mikro yang melibatkan rakyat dapat diselesaikan. Lagipun ini yang sebenarnya rakyat mahukan supaya masalah mereka diberi perhatian,” katanya ketika dihubungi Suara Merdeka hari ini.
Menurut Dr Noor Nirwandy, tawaran yang diberikan Perdana Menteri sebenarnya adalah khusus untuk kepentingan rakyat.
Malah, tidak ada negara yang dapat menangani masalah Covid-19 dengan baik dan mereka juga mempunyai masalah dalam pentadbiran.
“Cuma buat masa ini, negara sudah berada di landasan yang betul dan memerlukan kerjasama politik yang baik untuk menyelesaikan masalah
“Isu vaksin sudah dikendalikan dengan baik, begitu juga dengan faktor ekonomi yang sudah dirancang dengan baik dengan moratium dan pelan ekonomi lain yang sedang dijalankan.
“Cuma pembangkang membangkitkan isu berkaitan jumlah jangkitan kes dan sebenarnya, perkara sama juga dihadapi oleh negara-negara lain,” katanya.
Jelasnya, pembangkang sehingga kini juga tidak pernah membentangkan manifesto dan pelan mereka untuk memerangi Covid-19 sedangkan kerajaan sedang membaik pulih negara dan kejayaan itu sedang dilihat satu persatu.
Disebabkan itu, jika kerjasama rentas parti dapat dijalinkan, masalah mikro yang dihadapai rakyat seperti perniagaan dan sebagainya akan dapat dibincangkan bersama untuk diselesaikan.
“Apa yang berlaku sekarang adalah masalah politik dan sebab itu rakyat jelak dan marah.
“Adakah selepas Perdana Menteri meletak jawatan, kerajaan akan stabil? Apa jaminannya? Sebab itu Perdana Menteri bukanlah watak utama sekarang.
“Watak utamanya ialah Ahli Parlimen yang sepatutnya bekerjasama tanpa mengira parti politik untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat,” jelasnya. -SM