Politik

PBS sokong undang-undang anti-lompat parti

Parti Bersatu Sabah (PBS ) menyokong dan mengalu-alukan pengumuman dan kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin petang kelmarin untuk memperkenal dan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Lompat sekiranya mendapat sokongan rentas parti dalam undi percaya di Parlimen nanti.

Ketua Penerangan PBS, Datuk Julita Majungki berkata, RUU Anti-Lompat merupakan perkara yang telah lama dibawa dan dicadangkan oleh PBS.

“Cadangan dan tindakan ini amat baik dan bertepatan sekali,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, beliau juga secara peribadi menyokong tindakan dan cadangan ini atas keyakinan bahawa ianya boleh membawa kestabilan politik di peringkat negeri dan persekutuan.

“PBS turut menyokong penuh cadangan dan langkah-langkah reformasi dalam pentadbiran yang akan dibuat sekiranya mendapat sokongan rentas parti undi dua pertiga di dewan rakyat dan dewan negara,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

“Kebajikan dan kepentingan rakyat harus mendapat keutamaan,” tambah Julita yang juga merupakan Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Negeri dan ADUN Matunggong.

RUU Anti Lompat merupakan antara tujuh perkara yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam rangka persefahaman rentas parti yang akan dilaksanakan oleh kerajaan sekiranya usul undi percaya diluluskan.

Julita berkata, RUU ini adalah antara perkara terpenting yang harus disambut baik dan disokong sepenuhnya oleh semua Ahli Parlimen kerana impaknya bersifat kekal kepada kestabilan negara dan melindungi suara serta kehendak rakyat yang mengundi wakil rakyat mereka.

“Saya tidak hairan melihat reaksi parti-parti politik pembangkang dari Sabah yang menolak cadangan Perdana Menteri khususnya RUU Anti-Lompat ini kerana mereka tidak dapat menyokong sesuatu yang merugikan mereka atau menghalang mereka untuk berkuasa dengan apa cara sekalipun,” katanya.

(Visited 231 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button