SEPANDAI-PANDAI tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Jika bernasib baik akan lepas, tidak bernasib baik dikesan.
Peringatan ini disampaikan oleh Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis, Fatimah Mohamed Ali Piah berikutan kes pertama memiliki lesen memandu palsu telah dikesan di Perlis.
Sehubungan itu, katanya, supaya kes ini tidak lagi berulang, jangan sesekali terpengaruh dengan tawaran pembelian lesen palsu di laman sosial seperti Facebook (FB) atau Instagram.
“Jika ada sesiapa kini sedang memiliki lesen palsu segeralah mendaftar di tiga buah Institut Memandu (IM) di Perlis iaitu Seriab, Padang Behor dan Ulu Pauh bagi memiliki lesen sah sebelum dikesan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, hari ini.
Beliau berkata, kalau dikesan memiliki lesen palsu, boleh didakwa mengikut Seksyen 108(5) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang lima ribu ringgit dan tidak melebihi dua puluh ribu ringgit serta boleh dipenjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun,” katanya.
Fatimah mengulas demikian mengenai kes pertama ini yang melibatkan seorang pelajar lelaki berusia 20-an dari salah sebuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negeri ini yang akan didakwa di Mahkamah Majistret pada 5 September 2022.
Fatimah berkata, pelajar ini telah ditahan ketika menaiki kenderaan jenis MPV oleh Pasukan Unit Penguatkuasaan Bermotosikal (UPB) JPJ Perlis di Jalan Penjara – Pusat Bandar, Kangar pada 10 Jun lalu.
Beliau berkata, hasil siasatan awal ke atas pelajar berusia awal 20an yang beralamat di Melaka itu mendapati lesen memandu dibeli melalui FB.
Katanya lagi, pelajar berkenaan mendakwa tidak mengetahui lesen memandu yang diperolehnya itu palsu serta tiada dalam rekod sistem MySikap JPJ.
Fatimah berkata, biasanya pihak yang menjual lesen palsu ini akan menawarkan harga lebih rendah dari harga yang ditawarkan bagi mendapatkan lesen melalui IM.
Katanya, tawaran pembelian lesen palsu yang diiklankan dalam FB atau Instagram juga berlaku dalam tempoh singkat.
Beliau berkata, selain itu pihak yang menawarkan lesen palsu juga akan menukar nombor telefon untuk mengelak daripada dikesan. – SM