Nasionalpilihan

KEMAS peruntuk RM1.9 juta untuk Program TVET

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi agensinya Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) memperuntukkan sejumlah RM 1.9 juta untuk Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi institusi di bawah KEMAS.

Timbalan Menteri 1 Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad berkata program TVET KEMAS akan memberikan peluang kepada golongan B40 untuk menjalani latihan TVET sekaligus mampu menambah pendapatan keluarga.

“Peruntukan TVET KEMAS merangkumi bimbingan, kursus dan biasiswa yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan untuk golongan yang berpendapatan rendah menerusi kursus dalam industri tekstil dan fesyen yang dilihat mempunyai potensi besar di Malaysia.

Justeru, KEMAS akan membuka tawaran kepada masyarakat Malaysia berusia antara 18 hingga 30 tahun yang berminat untuk mengikuti sijil dan diploma dalam bidang pembuatan pakaian wanita dan pentadbiran fesyen di Akademi Kemahiran KEMAS Seri Iskandar Perak mulai sekarang hingga 26 Jun 2022”, ujar Abdul Rahman.


Beliau menambah, Akademi Kemahiran KEMAS Seri Iskandar ini telah melahirkan seramai 1,414 individu yang memiliki Diploma yang dikeluarkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia yang diiktiraf sejak tahun 2007.

“Jika dahulu kelas-kelas jahitan yang dilaksanakan oleh KEMAS di kampung-kampung hanya untuk suri rumah belajar menjahit langsir, baju kurung tapi kini kita telah kembangkan sehingga ke tahap Diploma sekaligus pensijilan ini diiktiraf untuk menceburi industri tekstil di negara  ini.

Peluang pengajian dibuka kepada belia dan beliawanis yang berada di luar bandar dengan keutamaan dari kalangan keluarga yang berpendapatan rendah dan turut ditawarkan kepada pelatih dari Agensi Kementerian dan lain-lain seperti KEDA, JAKOA, IKBN dan Giatmara merangkumi 279 institusi TVET KPLB untuk melanjutkan pengajian”, ujar beliau lagi.

Abdul Rahman berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KEMAS Negeri Pahang di Genting Highlands, Pahang.

Turut hadir, Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohamad Yasid Bidin, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan dan Pembangunan, Rafea’ah Mohd Nahar dan Pengarah KEMAS Pahang, Zainal Abidin Ali.

Program TVET yang dilaksanakan oleh Akademi Kemahiran KEMAS Seri Iskandar Perak diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia dalam bidang jahitan pakaian tahap Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap 2 dan 3, Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) tahap 4 dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) tahap 5.

Manakala Akademi Kemahiran KEMAS Gopeng Perak pula menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) bidang Pembuatan Pakaian Lelaki dan Pembuatan dan Penyediaan Makanan Tahap 2 dan 3.

Abdul Rahman turut memaklumkan kementeriannya akan menganjurkan Expo [email protected] pada 23 hingga 25 Jun 2022 di Dataran Amanjaya Mall Sungai Petani Kedah yang akan dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir bin Khalid sekaligus membuka peluang untuk belia dan beliawanis di negara ini mengetahui dan menceburi pendidikan TVET di bawah institusi pendidikan KPLB dan Agensi seluruh negara. – SM

Artikel berkaitan > KPLB Perkenal Program TVET Junior untuk tarik minat pelajar bidang kemahiran

(Visited 38 times, 2 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button