Nasional

Kes perbicaraan Ahmad Zahid bersambung esok

ESOK ialah hari prosiding kes perbicaraan membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersambung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang berhadapan dengan 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akalbudi berjumlah jutaan ringgit.

Sejak penghujung tahun lepas sehingga kes perbicaraan berhenti dan tidak dapat disambung kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian wabak COVID-19, pihak pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengemukakan lebih 35 orang saksi pendakwa.

Ahmad Zahid setiap kali hadir ke mahkamah kelihatan amat tenang mendengar keterangan demi keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi.

Beberapa orang saksi yang telah ditampilkan untuk memberi keterangan memberitahu mahkamah di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bahawa urusan transaksi yang membabitkan Yayasan Akalbudi adalah bertujuan amal jariah serta sumbangan politik.

Saksi ke-32, Datuk Abu Hanifah Noordin dari Sarana Kencana Sdn. Bhd. (SKSB) misalnya memberitahu mahkamah wang berjumlah secara keseluruhannya RM6 juta yang dibuat pembayarannya kepada Lewis & Co selaku pemegang amanah Yayasan Akalbudi merupakan sumbangan politik kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Dengan jelas Abu Hanifah mengakui di mahkamah bahawa beliau adalah rakan politik Ahmad Zahid dan tiada apa yang salah di kedua-dua pihak (pemberi dan penerima) untuk membantu parti politik di dalam negara ini.

Apabila saksi-saksi tampil memberi keterangan, setiap mereka adalah dibawah sumpah dan berada di dalam kandang saksi, segala keterangan perlu dibuat dengan jujur.

Mengimbas kembali keterangan saksi bernama Junaith Ashrab Md Shariff (saksi ke-36) mengakui tiga perenggan dalam kenyataan bertulisnya adalah tidak benar membuatkan hinggar kamar mahkamah.

Karakter yang tidak konsisten yang ditunjukkan oleh Junaith ketika itu dianggap ‘belot’ oleh barisan pendakwaan kerana kenyataan Junaith yang dilihat memihak kepada Presiden UMNO, Ahmad Zahid.

Antara yang boleh dijadikan imbasan kembali kenyataan Junaith yang mengelirukan adalah seperti di bawah:

Perenggan 53 pernyataan saksinya berbunyi: “Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu saya pembayaran dibuat kepada Messrs Lewis&Co kerana Messrs Lewis&Co adalah trustee (pemegang amanah) kepada Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi.”

Perenggan 55 berbunyi: “Pada masa yang sama selepas saya menyerahkan cek tersebut Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi berjanji untuk memberikan saya projek MyEG berjumlah lebih kurang RM50 juta selepas pilihan raya (umum) ke-14. Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu saya projek tersebut berkaitan dengan pendaftaran sumber pekerja asing”.

Perenggan 56 pula berbunyi: “Saya diminta oleh Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menghantar proposal berkenaan projek MyEG yang dijanjikan selepas pilihan raya (umum) ke-14”.

Terdahulu semasa pemeriksaan balas, Junaith bersetuju dengan cadangan peguam bela Hamidi Mohd. Noh bahawa Messrs Lewis&Co sebenarnya bukanlah pemegang amanah Ahmad Zahid, tetapi pemegang amanah Yayasan Akalbudi.

Junaith turut bersetuju dengan Hamidi bahawa perenggan 55 dan 56 sebenarnya bukan dijanjikan oleh Ahmad Zahid tetapi oleh adik Zahid, Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi dan dia turut bersetuju bahawa perenggan-perenggan itu adalah “tidak tepat”.

Malah, semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Ahmad Zaidi Zainal, Junaith turut bersetuju dengan cadangan Ahmad Zaidi bahawa kenyataan pada perenggan 55 pernyataan bertulisnya bukan sahaja tidak tepat, tetapi “tidak benar sama sekali”.

Jika ada yang beranggapan kes perbicaraan Ahli Parlimen Bagan Datuk ini bukan kes berprofil tinggi, itu agak tersasar kerana ramai dalam kalangan masyarakat di luar sana mahu mengetahui kesudahan kes perbicaraan ini.

Apabila Ahmad Zahid dihadapkan ke mahkamah, barisan peguambela Ahmad Zahid yang diketuai oleh Hisyam Teh Poh Teik berusaha untuk membela Ahmad Zahid.

Apabila kerajaan 22 bulan tumbang dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri, ramai juga yang beranggapan kes perbicaraan Ahmad Zahid akan ‘selesai’ begitu sahaja.

Ahmad Zahid secara gentlemen memberitahu bahawa beliau mahu kes perbicaraan terus berjalan kerana itu penting untuk membersihkan nama Ahmad Zahid Hamidi. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button