Jenayah

Kes bunuh ahli perniagaan bergelar Datuk Seri: Polis tahan 7 suspek

Mangsa mengenali dalang kes

POLIS berjaya memberkas tujuh lelaki termasuk seorang warga Bangladesh bagi membantu siasatan kes menculik seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang mayatnya ditemukan di Batu 27, Jalan Rawang Bestari Jaya, Rawang, Selangor, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, kesemua suspek termasuk dalang yang berumur dalam lingkungan 30-an hingga 40-an itu ditahan dalam beberapa operasi di sekitar Selangor bermula  pukul 11 pagi kelmarin (Jumaat).

Beliau berkata, mahkamah membenarkan permohonan reman terhadap kesemua suspek.

“Suspek-suspek direman antara lima dan tujuh hari, bermula semalam bagi membantu siasatan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaaan dan Seksyen 3 Akta Culik 1961,” kata Fadzil.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati seorang daripada suspek menghubungi keluarga mangsa dan meminta wang tebusan S$50 juta namun tiada bayaran dibuat.

Beliau juga berkata, mangsa juga dipercayai mengenali dalang kes ini.

Fadzil berkata, mangsa yang terlibat dalam perniagaan hartanah dipercayai meninggal dunia antara tiga atau empat hari lalu berdasarkan keadaan mayat yang mula reput.

Katanya, punca sebenar kematian mangsa masih dalam siasatan dan mayat telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

Mangsa dipercayai diculik ketika bersenam di kawasan taman permainan Jalan Persiaran Perdana, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, pada pukul 10.30 pagi, 10 Jun lalu.

Mayat lelaki berusia 55 tahun itu ditemukan kira-kira pukul 9 pagi semalam susulan penangkapan beberapa suspek kes berkenaan. – SM

(Visited 205 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button