Nasional

Kes aktif Covid-19 tinggal 19.79%, lebih 80% pesakit sembuh

KADAR kesembuhan pesakit virus maut Covid-19 di Malaysia mencapai 80.21 peratus atau seramai 5,512 orang termasuk 73 kes hari ini.

Ini menjadikan bilangan kes aktif Covid-19 adalah seramai 1,247 atau 19.79 peratus daripada jumlah mereka yang dijangkiti iaitu 6,872 kes.

Kes baharu yang dikesan juga menurun dengan hanya 17 orang dikesan dijangkiti virus tersebut dalam tempoh 24 jam.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah seramai 13 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi dan 5 daripada mereka memerlukan alat bantuan penafasan.

Manakala satu kematian dilaporkan hari ini. Kes kematian ke-113 (kes ke-6856) tersebut merupakan seorang wanita warganegara Malaysia berumur 53 tahun.

Beliau mempunyai sejarah penyakit barah dan darah tinggi. Beliau adalah merupakan seorang kakitangan perubatan Kementerian Kesihatan di Sabah dan sedang bercuti sakit disebabkan barah.

Mangsa telah dimasukkan ke Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah, Likas pada 5 Mei 2020 disebabkan kesihatan yang semakin merosot. Wanita itu disahkan meninggal dunia pada pukul 1.30 petang tadi.

Sementara itu BERNAMA melaporkan Dr. Noor Hisham berkata terdapat pertambahan satu kematian akibat COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kematian di Malaysia sebanyak 113 kes.

“Kes kematian ke-113 (kes ke-6856) merupakan wanita warganegara Malaysia berumur 53 tahun. Beliau mempunyai sejarah penyakit barah dan darah tinggi. Beliau merupakan seorang kakitangan perubatan KKM di Sabah (namun bercuti sakit disebabkan barah).

“Beliau dimasukkan ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Likas pada 5 Mei 2020 disebabkan kesihatan beliau yang semakin merosot. Beliau didapati positif COVID-19 dan disahkan meninggal dunia pada 7 Mei 2020 jam 1.30 petang,” katanya.

Beliau juga berkata selain warga emas, kanak-kanak dan bayi merupakan kumpulan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan COVID-19 maka golongan itu perlu dilindungi agar mereka tidak mudah terdedah dan dijangkiti wabak tersebut.

“Sehingga 16 Mei (hari ini), terdapat 317 kes positif COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak 12 tahun ke bawah. Daripada jumlah itu, 112 kes (35 peratus) adalah kanak-kanak berumur empat tahun dan ke bawah, dan 22 kes (7 peratus) adalah bayi kurang dari 1 tahun,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata setakat ini, tiada kes kematian positif COVID-19 dicatatkan dalam kalangan kanak-kanak bawah 12 tahun.

Selangor mencatat bilangan kes positif COVID-19 tertinggi dalam kalangan kanak-kanak bawah 12 tahun iaitu 77 kes diikuti Negeri Sembilan (48), Johor (46), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (28) serta Sabah (26).

Beliau juga berkata setakat ini, tiada penyakit Kawasaki dijumpai dalam kalangan kanak-kanak yang dijangkiti COVID-19.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata kanak-kanak mendapat jangkitan COVID-19 daripada orang dewasa yang berada di sekeliling mereka.

“Kita kena pastikan pulang sahaja ke rumah, jangan sentuh kanak-kanak dulu, mandi atau cuci tangan atau gunakan pensanitasi tangan sebab kita terdedah kepada virus yang ada dalam masyarakat. KKM juga bimbang semasa musim perayaan, kita mungkin membawa virus pulang ke kampung dan menjangkiti golongan yang berisiko,” katanya.

Justeru itu, beliau berkata adalah penting bagi masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan KKM seperti mengamalkan jarak sosial, cuci tangan, elakkan perhimpunan awam dan patuh kepada 3C (tempat sesak, tempat tertutup dan bercakap jarak dekat).

“Ibu bapa, penjaga dan ahli keluarga yang lebih tua memainkan peranan penting dalam memberi pendidikan berkaitan kebersihan diri kepada kanak-kanak agar mereka dapat mengamalkan tahap kebersihan tinggi, sentiasa mencuci tangan dengan air dan sabun serta sangat digalakkan memakai penutup hidung dan mulut di kawasan umum,” katanya. -SM

(Visited 128 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button