Kerjasama PKR, UMNO: Hanya perbincangan, belum rasmi – Anwar
JANGAN mengandaikan seolah-olah sudah terdapat persefahaman kerjasama antara PKR dan UMNO.
Itu penegasan Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap khabar angin kononnya akan berlaku kerjasama antara kedua-dua parti yang telah bermusuh sejak 20 tahun lalu itu.
Ketua Pembangkang itu berkata, yang ada ketika ini cuma perbincangan awal yang dilakukan antara beberapa kepimpinan kedua-dua parti tersebut.
“Jangan mengandaikan hal ini seolah-olah ada satu persefahaman dan saya lihat banyak komentar seolah sudah ada perjanjian, kemudian bangkitlah soal kluster mahkamah, soal siasatan,” kata Anwar dalam sidang akhbar hari ini.
Persoalan kerajasama antara PKR dan UMNO timbul berikutan temubual Anwar yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia pada Ahad lalu.
Dalam temubual itu Anwar tidak menolak kemungkinan PKR akan bekerjasama dengan UMNO dalam Pilihan Raya Umum akan datang.
“Saya sebut istilah perbincangan tidak timbul lagi soal kerjasama. Kerjasama ini rasmi. Ini belum rasmi.
“Perbincangan awal isu yang berkaitan empat prinsip dalam Perlembagaan, dasar ekonomi, pentabiran yang baik, kebebasan kehakiman.
“Ini pandangan yang penting. Bagi saya satu permulaan yang sangat penting,” katanya.
Anwar berkata, apa yang berlaku ketika ini adalah naratif baru dalam politik negara yang sebelum ini penuh dengan permusuhan dan kezaliman.
Justeru beliau terbuka untuk berbincangan dengan sesiapa sahaja.
“Naratif ini baru. Dalam negara kita ini politik kita penuh dengan permusuhan dan kezaliman. Tak setuju tangkap, dera, masuk penjara, pukul. Ini kena henti.
“Sebab itu bagi saya, saya terbuka. Untuk bincang dengan sesiapa sahaja,” jelas Anwar.
Ditanya adalah pemimpin UMNO yang ditemui termasuk Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak, Anwar menjawab, “Saya jumpa semua, apa hak saya untuk nafikan. Saya bincang dengan semua. Dengan Tun Dr. Mahathir pun saya bincang dulu. Pasal apa tidak boleh dengan orang lain,” tegas beliau.
Anwar juga menegaskan dia terbuka untuk berbincang termasuk dengan pemimpin yang disiasat dan didakwa.
“Saya mahu beritahu soal siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ini dalam PH berpuluhan orang sudah. Tunggu nak didakwa sahaja.
“Dia bukan siasatan SPRM, jenayah atau Lembaga Hasil Dalam Negeri ini tidak tertumpu kepada UMNO sahaja tetapi juga kepada seluruh. Saya tidak mahu mengatakan orang yang disiasat, didakwa itu kita tidak boleh bincang,” jelas beliau. -SM