Ekonomi

Kerjasama ekonomi Wilayah Satun dan Perlis dipertingkatkan – Pemangku Raja Perlis

HUBUNGAN perdagangan di antara Wilayah Satun yang terletak di Thailand bersempadan dengan Negeri Perlis di Malaysia perlu terus dipertingkatkan. Ia juga sepatutnya melibatkan pergerakan yang aktif dalam sektor pelancongan.

Kerjasama dua hala yang lebih erat secara tidak langsung akan mampu menawarkan lebih banyak peluang-peluang menjana ekonomi termasuklah pekerjaan kepada rakyat di kedua-dua kawasan terbabit.

Jaluran pengangkutan darat yang baik juga merupakan antara faktor yang memudahkan lagi kerjasama ini bagi memastikan sebarang urusan perdagangan dan pengedaran berjalan dengan lancar.

Selain daripada itu, terdapat ikatan tali persaudaraan dan kekeluargaan yang cukup banyak di antara penduduk Perlis dan Wilayah Satun sebelum ini. Selain daripada itu, terdapat masyarakat Satun yang boleh berbahasa Melayu dan rajyat Perlis yang boleh bercakap dalam Bahasa Thai yang merupakan antara faktor keunikan yang wajar dimanfaatkan sepenuhnya.

Demikian titah Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat ke Satun, Thailand bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Che Nor Muhibbah Haji Che Abdullah Langputeh pada semalam.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

 

Allahyarhamah ialah ibu kepada Datin Nuranee Pitisatetapan dan mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Almarhumah Raja Perempuan Besar Perlis Tuanku Tengku Budriah Almarhum Tengku Ismail menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 90 tahun pada pagi sebelumnya. Datin Nuranee merupakan isteri kepada Datuk Pichate Pitisatetapan yang merupakan Bekas Timbalan Ketua Polis Region 9 Polis DiRaja Thailand dan juga merupakan Penasihat bagi salah sebuah Jawatankuasa Kecil dalam Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Beliau memainkan peranan besar membantu dalam hubungan baik MAIPs-Thailand.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Lailatul Shahreen menzahirkan ucapan takziah dan Baginda berdua mendoakan semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat-Nya dan ditempatkan bersama orang-orang beriman serta beramal soleh.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button