fbpx
PRK

Kerjasama di PRK Chini langkah bersejarah pembentukan PN

PRESIDEN Bersatu Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin telah mengarahkan semua pemimpin dan ahli parti itu untuk membantu serta mengundi calon Barisan Nasional di Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Chini.

Menurut Muhyiddin, PRK tersebut adalah pilihanraya pertama bagi Bersatu di bawah gabungan Perikatan Nasional.

“Sebagai Presiden Bersatu dan Perdana Menteri saya menyokong penuh calon yang telah diputuskan oleh Barisan Nasional untuk bertanding pada PRK DUN Chini, saudara Mohd. Shahrim Md. Zain.

“Justeru bagi memastikan kemenangan pertama Perikatan Nasional seluruh jentera akar umbi Bersatu bahagian Pekan telah digerakkan untuk berkempen menyokong calon pilihan gabungan ini,” kata Muhyiddin dalam satu kenyataan.

Jelas beliau gerakan kempen tersebut dikuatkan lagi dengan kehadiran pemimpin-pemimpin kanan Bersatu dari seluruh negara.


Muhyiddin berkata, kesepakatan dan kematangan parti-parti Perikatan Nasional untuk berkempen serta berkongsi pentas politik secara terbuka di PRK Chini adalah satu langkah bersejarah untuk pembentukan parti Perikatan Nasional menjadi gabungan politik yang kuat dan mantap.

Menurutnya, kemenangan calon BN yang mewakili PN bakal memberi isyarat kepada rakyat Malaysia tentang keupayaan PN sebagai gabungan parti politik yang mampu bekerjasama untuk menjayakan agenda kebajikan rakyat dan kemajuan negara.

“Saya menyeru kepada 20,990 pengundi berdaftar di DUN  Chini agar keluar beramai-ramai dan memberikan sokongan padu kepada calon BN pada 4 Julai akan datang.

“Pilihan anda bukan sahaja menentukan pembangunan serta masa hadapan Chini tetapi akan membuka lembaran baharu kepada hala tuju politik di peringkat Nasional,” kata Muhyiddin.-SM

 

 

 

 

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button