Kereta terbang bakal jadi realiti
KUALA LUMPUR- Pada Khamis ini dijangka bakal mencatat hari bersejarah bagi negara apabila kereta terbang yang sering menjadi bahan jenaka pihak pembangkang bakal diuji sekali gus menjawab segala tohmahan yang dilemparkan terhadap pencetus idea tersebut iaitu Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md. Yusof.
Malah hari ini tular di sosial media mengenai rupa sebenar kereta terbang berkenaan yang dikongsi oleh Haziq Asyraf JR di laman Twitter miliknya.
“Berdasarkan maklumat perisikan, beginilah contoh kereta terbang pertama negara yang dikenali sebagai Vektor, yang akan diterbangkan buat pertama kali oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan di Subang pada hari Khamis ini,” ujar Haziq.
Semalam Mohd Redzuan atau lebih dikenali sebagai Pak Wan menyatakan pelawaan terhadap Ahli Parlimen pembangkang untuk menyertai sesi pandu uji kereta terbang tersebut.
Projek kereta terbang berkenaan telah dibangunkan oleh syarikat tempatan Aerodyne Group dan dikenali dengan nama Vektor.
Projek berkenaan telah diumumkan oleh Pak Wan sendiri pada Langkawi Air and Maritime Show (Lima) awal tahun ini dan menjadi bahan jenaka pihak pembangkang serta segelintir masyarakat yang melihat projek tersebut sebagai sukar dilaksanakan.
Malah ada pihak yang melihat ia sebagai bukan keperluan utama ketika negara kini dihimpit masalah kekangan ekonomi dan pembangkang pula menuntut supaya janji manifesto pilihan raya lalu dipenuhi.
Pesawat ini dikatakan mampu membawa muatan antara 150 hingga 200 kilogram serta mampu terbang setinggi 50 meter dengan kelajuan 60 km/h.
Keupayaan baterinya dijana menggunakan bateri lithium dan mampu bertahan antara 30 hingga 90 minit.
Waima apapun ucapan setinggi tahniah perlu diberikan kepada Pak Wan atas usahanya ini yang dilihat mampu membantu menjana keperluan industri penerbangan dan sektor-sektor lain yang berkaitan terutama melibatkan pertahanan dan keselamatan awam.
Janji manifesto itu satu hal lain tapi tidak bererti apa yang baik dan mampu membantu meningkatkan keupayaan kreativiti negara perlu ketepikan.
Diharap semua pihak berlapang dada dan menerima hakikat banyak perkara baik yang boleh dilakukan melalui pembangunan kereta terbang ini sekali gus menjadi pemangkin kepada industri keusahawanan aeroangkasa negara.