‘Kerat jari kalau PH tidak bertanding di Chini’
“Aci kerat jari, kalau PH tak bertanding di Chini”. Itulah pandangan ekstrem seorang rakan bila ditanya jangkaannya apakah pembangkang akan bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Chini.
Katanya, Pakatan Harapan (PH) akan tetap bertanding walaupun sudah tahu akan kalah di kawasan berkenaan.
Ketika pilihan raya lalu kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang, Chini tetap erat terangkul erat dalam BN dengan calon PH hanya memperolehi sekitar 4 peratus undi.
Apatah lagi apabila Pas dan BN sudah bergabung, kelebihannya adalah sekitar 96 peratus. Memang tidak langsung kelihatan peluang PH untuk menang.
Tetapi PH pastinya melihat inilah peluang untuk mereka menyebarkan fahaman, tohmahan dan sebagainya. Inilah platform terbuka yang tidak akan diperolehi pada bila-bila masa.
Inilah juga peluang untuk mereka melepaskan kemarahan setelah kehilangan kerajaan kepada Perikatan Nasional (PN) ketika baru memerintah hanya kira-kira 21 bulan.
Segala aktiviti berkempen di Chini kelak akan disoroti media dan masyarakat. Dan dengan isu SOP PKPB jika ada pihak lawan terlanggar jerangkap samar itu ia adalah bonus.
Walaupun keputusannya memang telah sedia diketahui dan cara berkempen juga kurang meriah kerana SOP PKPB, tetapi masyarakat tetap teruja untuk mengetahui bagaimana bentuk kerjasama PN. Bagaimana cara berkempen PH, apakah akan balik ke zaman mereka membangkang iaitu dengan memaki hamun dan menfitnah.
Bagaimana DAP membawa diri di kawasan majoriti Melayu, setelah menyedari majoriti orang Melayu masih tidak dapat menerima cara parti cauvanis Cina itu berpolitik.
Jangkaan jumlah pengundi keluar mengundi adalah rendah kerana ramai yang masih bimbang untuk berkumpul di tempat ramai orang berikutan kekhuatiran penularan wabak Covid-19, tetapi mereka tetap tidak lekang mengikutinya di media sosial.
Penyandang DUN Chini Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, meninggal dunia pada 11.55 malam Rabu di Hospital Kuala Lumpur, akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas di Bangsar.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor yang memperoleh 5,405 undi manakala calon PKR Mohamad Razali Ithnain dari PKR hanya mendapat 1,065 undi.
Abu Bakar yang ketika itu memperoleh 10,027 undi merupakan penyandang kerusi DUN tersebut sejak PRU ke-11, pada tahun 2004.
PRK DUN Chini ditetapkan pada Sabtu, 4 Julai. Tarikh penamaan calon ialah pada 20 Jun dan pengundian awal akan diadakan pada 30 Jun.
Dalam satu pertemuan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak turut berpandangan bahawa PH akan tetap memasuki gelanggang di Chini walaupun tahu mereka akan kalah teruk.
Menurut Najib mereka bertanding bukan kerana menang atau kalah, tetapi lebih kepada mahu mengambil kesempatan pentas terbuka untuk terus menyebarkan fahaman politik.
Bagaimanapun PH perlu sangat berhati-hati kerana Chini terletak di bawah Parlimen Pekan. Selain kawasan Najib atau Bossku wakil rakyatnya, di situ juga terletak istana dan merupakan bandar diraja.
Bermakna rakyat di Pekan sangat terkait dan kasih dengan istana. Bahkan hubungan rakyat Pahang dengan istana sangat akrab. Semua juga sedia maklum Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ialah Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Pahang.
Bagaimana para pemimpin PH hendak bersikap hipokrit untuk menyimpan belang mereka sebenar yang anti-istana dan mahu menghancurkan kerajaan majoriti rakyat negara ini iaitu Melayu dan bumiputera.
Dalam majlis rasmi ketika PH menjadi kerajaan pemimpinnya dengan sengaja meminggirkan menyebut kehadiran tetamu dari istana pada ucapan alu-aluan, apatah aktiviti tidak rasmi dan terbuka.
Jadi bersedialah PH masuk gelanggang dengan kemungkinan besar mengalami kekalahan memalukan dan meningkatkan meter kemarahan majoriti penduduk negara ini. – SM