Politik

Kisah DUN Chini

DICERITAKAN kawasan Dewan Undangan Negeri Chini atau N23 adalah merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN).

Kawasan ini popular kerana Tasik Chini yang menjadi tempat pelancongan, tetapi semakin kehilangan popularitinya dan termasuk kisah legenda naga Tasik Chini.

Tetapi ada kisah yang lebih menarik bagaimana kubu kuat BN ini pernah jatuh ke tangan pembangkang pada tahun 1999. Dan calon yang bertanding bagi tiket PKR pun memang tidak menyangka beliau akan menang.

Faktor utama kemenangan itu sentimen reformasi yang dibakar oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas beliau dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan ahli UMNO sebelum dituduh dengan tuduhan salah guna kuasa dan kes liwat pada tahun 1998.

Pada pilihan raya ini juga Datuk Seri Najib Tun Razak menang tipis di Parlimen Pekan. Beberapa negeri juga tumbang kepada pembangkang, pada tengah malam keputusan diperolehi satu demi satu negeri tumbang dan ketika itu ramai yang menjangkakan kerajaan BN akan tumbang.

Tetapi itu tidak berlaku BN masih lagi memerintah dan Datuk Seri Adnan Yaakob yang ketika itu baharu menjawat jawatan Menteri Besar Pahang setelah mengambil alih daripada Tan Sri Khalil Yaakob yang menjadi menteri persekutuan berasa lega kerana Pahang masih bertahan walaupun negeri Pantai Timur yang lain jatuh ke tangan pembangkang.

Mutakhir walaupun kerajaan BN tumbang pada pilihan raya lalu, tetapi Pahang tetap berada di tangan BN.

Semasa pilihan raya 1999 ketika itu jentera BN sangat yakin, ibaratnya gebang mereka, kalau diletak songkok bertanding pun tetap akan menang.

Oleh itu banyak kenderaan-kenderaan jentera kempen yang mempunyai poster calon dikesan berada di kedai kopi dan kelab-kelab dangdut daripada masuk ke kampung kampung berkempen.

Begitulah gambaran yang diberikan oleh orang politik ketika itu dan sejauh mana kebenarannya tidak dipastikan.

Dijadikan cerita di Chini sekumpulan penduduk Orang Asli meminta mereka dibawa ke pusat pengundian dengan kereta Proton dan bukan dengan lori sebagaimana pilihan raya sebelumnya.

Dek kerana terlalu yakin dengan kemenangan di dalam tangan pada hari pengundian, permintaan penduduk Orang Asli itu tidak diendahkan.

Oleh kerana lori yang dihantar ke kawasan penempatan Orang Asli yang berjumlah belasan pengundi itu, mereka merajuk hati dan tidak mahu keluar mengundi.

Ahh!!! apa hendak dipedulikan dengan rajuk Orang Asli. Cerita seorang orang politik. Nak dijadikan cerita juga akhirnya kawasan itu dimenangi oleh pembangkang dengan kelebihan lima undi.

Bermakna jika pengundi Orang Asli itu keluar mengundi, sudah tentu Chini akan kekal rekod tanpa menang oleh pembangkang hingga ke hari ini.

Pun begitu Allahyarham Abu Bakar Harun telah memenangi Chini dengan majoriti 4,622 atau memperolehi sebanyak 10,027 undi pilihan raya lalu.

Pemergian penyandang menyebabkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Pahang akan diadakan pada 4 Julai depan, manakala hari penamaan calon adalah pada 20 Jun.

Kita lihat lagi pada pilihan raya lalu ketika sentimen memihak kepada Pakatan Harapan (PH) calon Pas memperolehi 5,405 undi dan jika mudah kira calon BN yang hampir pasti bertanding akan memperolehi lebih 15,000 undi kerana BN dan Pas kini bekerjasama di dalam Perikatan Nasional bersama-sama Bersatu dan serpihan PKR.

Calon PH hanya memperolehi lebih sedikit 1,000 undi sahaja.

Melihat senario semasa adalah wajar PH mempertimbangkan memberi laluan kepada PN untuk menang tanpa bertanding. Apatah lagi negara kini sedang berdepan dengan cabaran yang sangat besar iaitu penularan wabak maut COVID-19.

Dengan situasi semasa adalah amat tidak sesuai untuk diadakan PRK dan pertubuhan Kami Anak Felda (KAF) Felda Chini 1 menyarankan PH tidak bertanding.

Saranan Pengerusi Ahmad Shahril Zailudin, sikap itu akan menunjukkan jiwa besar pemimpin pembangkang dan apabila pulih situasi negara, barulah kembali berpolitik adalah wajar. – SM

 

 

(Visited 453 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button