Nasional
Kerajaan tidak berkompromi dalam isu Islam, raja-raja dan Melayu – Anwar
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi menghadiri Jamuan Makan Malam 2024 Malay College Old Boys Association (MCOBA) di ibu negara.
“Malam ini hadir sebagai ‘budak koleq’ di Majlis Jamuan Makan Malam 2024 Malay College Old Boys Association (MCOBA) di ibu kota. Alhamdulillah, dapat bertemu sahabat lama serta teman-teman seperjuangan.
“Saya cukup berbangga menjadi sebahagian daripada sejarah hebat pendidikan negara. Meskipun asalnya Kolej Melayu Kuala Kangsar digagaskan untuk melahirkan elit Melayu bagi memenuhi keperluan kolonial Inggeris, namun asas yang kukuh mengakar ke bumi menyebabkan kita tidak tergugat dan tekal pada bangsa Melayu, Islam dan negara hebat Malaysia.
“Sewaktu berucap, saya menyinggung kekhuatiran segelintir pihak, termasuk dalam kalangan MCOBA, yang beranggapan Kerajaan ini semakin mengorbankan kepentingan Melayu kerana mengejar keterangkuman.
Saya tegaskan bahawa kekhuatiran itu tidak berasas sama sekali.
“Kerajaan MADANI tidak akan berkompromi sama sekali dalam soal Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu, hak istimewa Melayu dan Bumiputera serta bahasa Melayu, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.
“Bahkan, selepas mengambil alih Bandar Malaysia daripada entiti asing, Kerajaan inilah yang telah mewartakan sekurang-kurangnya 50 ekar kawasan itu sebagai Tanah Rizab Melayu. Ini jaminan Kerajaan untuk melindungi kepentingan orang Melayu, di samping berlaku adil pada setiap rakyat Malaysia.
“Namun kita tidak mungkin boleh membiarkan salah guna kuasa atas nama Melayu dan Bumiputera terus berlaku. Begitu banyak dasar-dasar untuk orang Melayu dan Bumiputera telah diperkudakan untuk memperkayakan kroni, ahli keluarga dan elit politik.
Kerana itu kita harus bersama dan senada dalam melaksanakan dasar-dasar bagi mengangkat ekonomi Melayu dan Bumiputera secara telus, sesuai dengan tuntutan zaman serta memastikan lebih ramai menerima manfaat terutama miskin bandar dan pedalaman, ketimbang hanya kroni dan pihak tertentu.
“Di akhir ucapan, saya menyentuh peranan Kolej Melayu Kuala Kangsar yang telah mengubah nasib ribuan orang Melayu. Selaku anak kampung yang membesar di Cherok Tok Kun, saya tidak mungkin berada di kedudukan hari ini tanpa asuhan dan pendedahan di Kolej Melayu.
“Ini telah memperkukuh keyakinan saya bahawa hanya pendidikan yang mampu menjamin masa depan anak bangsa.
“Penghargaan tertinggi atas jasa bapa-bapa kita dan Raja-Raja Melayu, terutama Sultan Idris Murshidul ‘Adzam Shah yang menyediakan tempat dan prasarana awal tatkala penubuhan Kolej Melayu Kuala Kangsar,” kata Anwar dalam hantara di Faebook.