Nasional

Kerajaan Sasar Lebih 500 Kedai Koperasi (Coopmart) Di Seluruh Negara

Kerajaan menyasarkan penubuhan lebih 500 kedai koperasi (Coopmart) di seluruh negara yang akan diusahakan menerusi pelbagai jenis koperasi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah tersebut dapat memastikan manfaatnya dirasai seluruh Keluarga Malaysia terutamanya di kawasan luar bandar.

“Ia termasuklah kawasan yang majoriti penduduknya adalah golongan B40 selain juga ahli-ahli koperasi, para pengguna dan usahawan yang terlibat dalam rantaian bekalan ini.

“Ini dapat dilihat melalui Coopmart milik Koperasi Pudina Putrajaya Berhad di Presint 17, Putrajaya yang ditubuhkan dengan bantuan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Kementerian Wilayah Persekutuan,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Coopmart Dan Perasmian Coop Community Mart Koperasi Pudina Putrajaya Berhad di Putrajaya, hari ini.

Ujar Perdana Menteri lagi, kedai koperasi bukan sahaja membolehkan ahli koperasinya menjana pendapatan melalui dividen, malah menawarkan barangan keperluan asas serta pelbagai produk lain kepada penduduk setempat dengan harga yang rendah dan berpatutan.

“Kewujudan Coopmart yang mendapat bekalan langsung daripada pembekal koperasi seperti Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) serta lain-lain pembekal, penduduk setempat menawarkan situasi menang-menang sejajar dengan semangat Keluarga Malaysia.

“Kedai koperasi ini mampu membantu meringankan kos sara hidup keluarga Malaysia. Saya berharap pihak ANGKASA sebagai koperasi puncak atau induk di negara ini dapat bersama-sama dengan pihak Kerajaan
mempertingkatkan peranan CoopMart dan membantu koperasi di negara ini yang ingin menceburi perniagaan sektor berkenaan,” ujarnya.

Dengan kerjasama semua pihak khususnya KUSKOP dan pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia memperkasakan kedai koperasi ini, Perdana Menteri percaya ia dapat mempercepatkan hasrat Kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat pada masa ini dan juga masa akan datang.

(Visited 700 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button