Nasional
Trending

Kerajaan Sabah batal keputusan pelaksanaan PSS

KERAJAAN negeri Sabah membatalkan keputusan pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) selaras dengan kehendak dan suara rakyat Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Ketika mengumumkan perkara itu hari ini, beliau berkata pembatalan pelaksanaan PSS itu yang diputuskan pada mesyuarat jemaah menteri negeri akan dimaklumkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Setelah mendengar suara rakyat di (semua) peringkat dan bukan hanya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis bahkan secara keseluruhan suara rakyat yang tidak inginkan (membantah PSS) dan kita (kerajaan negeri) dengar suara ini.

“Maka dengan itu Kabinet Negeri Sabah akan maklumkan kepada KDN selaku kementerian bertanggungjawab supaya dibatalkan rancangan pelaksanaan PSS pada bulan Jun ini,” katanya pada sidang media selepas majlis menadatangani nota kolaborasi di antara Jabatan Pembangunan Sumber Manusia dengan Universiti Kuala Lumpur dan Petra Energy Berhad, di sini, hari ini.

Pada September tahun lepas, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah mengumumkan pelaksanaan PSS bermula 1 Jun tahun ini bagi menggantikan tiga dokumen dikeluarkan kepada warga asing tinggal lama di Sabah iaitu IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-Burung.

Bagaimanapun, keputusan tersebut mendapat tentangan beberapa pihak termasuk kalangan rakyat dan parti pembangkang telah menggunakan isu itu pada kempen PRK Parlimen Kimanis.

Mohd Shafie berkata selepas keputusan pelaksanaan PSS diumumkan pada September tahun lepas, kerajaan negeri sentiasa mendengar apa yang rakyat suarakan bukan hanya ketika PRK Parlimen Kimanis.

Menurutnya, beliau akan ke Kuala Lumpur minggu depan untuk berjumpa dengan pihak KDN bagi membincangkan keputusan kerajaan negeri Sabah membatalkan pelaksanaan PSS.

Ditanya berhubung mekanisme lain dalam menangani masalah Pendatang Tanpa Izin (PTI) di negeri ini susulan pembatalan PSS itu, Mohd Shafie berkata ia terpulang kepada KDN dan kerajaan negeri mengambil tanggungjawab seperti biasa dalam menangani masalah PTI.

“Kita laksanakan mana termampu dalam memastikan keadaan ini (masalah PTI) tidak menjejaskan keselamatan dan alam sekitar di Sabah,” katanya.- BERNAMA

(Visited 167 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button