Nasional

Kerajaan pertimbang jadikan feri PP restoran terapung, muzium

KERAJAAN akan mempertimbangkan beberapa cadang untuk menjadikan feri ikonik Pulau Pinang sebagai restoran terapung, muzium atau pelayaran pelancongan selepas tidak lagi beroperasi.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong berkata, pertukaran fungsi itu dapat memperingati sumbangan feri-feri tersebut kepada identiti kebudayaan dan warisan negeri Pulau Pinang.

“Bagi mengekalkan sejarah ikonik Pulau Pinang ini, kami akan mempertimbangkan idea sebagaimana yang dicadangkan oleh beberapa pihak untuk menjadikan feri sedia ada sebagai restoran terapung, muzium, atau pelayaran pelancongan.

“Yang akan dapat memperingati sumbangan feri-feri Pulau Pinang kepada identiti kebudayaan dan warisan negeri ini,” kata Ka Siong.

Beliau berkata demikian terhadap kekesalan beberapa pihak atas keputusan Kementerian untuk menamatkan perkhidmatan feri lama tersebut yang telah menghubungkan tanah besar Semenanjung dengan Pulau Pinang sejak 126 tahun lalu.


Menurut Ka Siong, beliau sekali lagi hari ini telah menerangkan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berhubung perancangan Kerajaan Persekutuan untuk menaiktaraf dan memodenkan perkhidmatan feri di negeri itu.

Tindakan itu diambil selepas meneliti daya tahan feri dan keselamatan penumpang bagi memastikan perkhidmatan tersebut akan terus dinikmati oleh rakyat tempatan termasuk pelancong.

“Kami juga telah mengulangi apa yang telah dipersetujui dalam mesyuarat bertarikh 27 Ogos 2020 di bangunan Parlimen sebelum ini.

“Saya amat menghargai pemahaman YAB Ketua Menteri dalam perkara ini dan kami turut berharap perkara ini dapat diteruskan demi kebaikan semua pihak,” kata Ka Siong.

Fasa pemodenan perkhidmatan feri Pulau Pinang akan dimulakan dengan memperkenalkan tiga bas air untuk penumpang bermula dari 1 Januari.

Kemudian diikuti pengenalan dua feri pengangkut kenderaan yang akan hanya membawa kenderaan dua roda seperti motosikal dan basikal yang akan beroperasi mulai tahun 2022.

Sejumlah RM30 juta diperuntukkan bagi tujuan pemodenan perkhidmatan feri tersebut yang akan disalurkan melalui dua bayaran pada tahun 2021 dan 2022.

“Dijangkakan lebih ramai pengguna kenderaan motor akan menggunakan Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah untuk perjalanan antara tanah besar di Seberang Perai dan pulau, yang lebih selamat, cepat dan lebih murah berbanding feri,” kata Ka Siong.

Sebagai langkah sementara Penang Port Sdn Bhd (PPSB) akan menyediakan dua bot penumpang laju untuk mengangkut penumpang dan mendapatkan perkhidmatan milik Prasarana untuk mengangkut kenderaan dua roda dalam usaha membantu proses peralihan ke kapal baharu dalam tempoh tersebut.

PPSB juga akan menawarkan perkhidmatan bot laju secara percuma kepada penumpang untuk dua minggu mulai 1 Januari.-SM

(Visited 104 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button