Ekonomi

Kerajaan perlu sedia ruang fiskal mencukupi untuk dimanfaatkan

Setiap kerajaan yang memerangi pandemik COVID-19 perlu menyediakan ruang fiskal yang mencukupi untuk dimanfaatkan dan tidak menggunakannya sepenuhnya dalam tempoh dua atau tiga bulan pertama, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

“Setiap negara menghadapi cabaran dengan ruang fiskal, (oleh itu), kita tidak boleh mengatakan kita tidak mempunyai ruang fiskal lagi untuk dimanfaatkan tetapi kita menyedari bahawa COVID-19 bukan krisis untuk tempoh satu bulan, ia akan berada di sini sekurang-kurangnya 12-18 bulan akan datang sebelum adanya vaksin.

“Oleh itu, kerajaan tidak seharusnya menggunakan fiskal mereka sepenuhnya dalam tempoh dua atau tiga bulan pertama,” katanya dalam perbincangan dengan Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah-Malaysia di sini hari ini.

“Kita perlu menyediakan pilihan tersebut untuk perbincangan bagi tempoh enam bulan akan datang, belanjawan untuk tahun depan, supaya kita dapat terus membantu rakyat Malaysia untuk pulih,” katanya ketika ditanya sama ada akan terdapat bantuan tambahan selain yang telah diumumkan, terutamanya untuk sektor sains dan teknologi.

Malaysia telah mengumumkan pakej rangsangan berjumlah RM260 bilion, yang meningkatkan defisit fiskal negara daripada 3.2 peratus yang diunjurkan sebelum ini kepada 4.7 peratus.

Dalam perbincangan selama 90 minit itu, Khairy berkata selain perbincangan untuk spektrum industri yang lebih luas yang masih dipertimbangkan, beberapa perkara yang menjadi kebimbangan telah diberi perhatian di bawah pakej rangsangan yang telah diumumkan.

“Kami juga sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan, dan saya akan mengumumkan sesuatu pada minggu depan atau tempoh berikutnya,” katanya, sambil menambah kerajaan telah berbincang dan akan terus melakukannya dengan pelbagai pihak berkepentingan, industri, dewan perniagaan, serta institusi, terutamanya dalam sektor teknologi.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sedang mempertimbangkan industri yang akan dibenarkan untuk beroperasi, dengan mereka mematuhi syarat ketat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (MoH).

“Kami sedang meneliti yang mana boleh diberi kebenaran dahulu, dan yang mana kemudian.

“Sektor yang akan menjadi yang terakhir (dibenarkan untuk beroperasi) ialah pelancongan, runcit, makanan dan minuman, hiburan dan sukan. Ini merupakan sektor yang memerlukan kontak fizikal rapat berbanding yang lain,” katanya.

Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), katanya: “Terdapat petunjuk saintifik tertentu yang menentukannya dengan jelas. Kita perlu inovatif, peka dan fleksibel. Pada masa sama, kita perlu berhemat kerana pada akhirnya tiada kerajaan yang mahu membuat pertukaran antara kehidupan dan kesejahteraan.” – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button