Kerajaan Negeri Perak masih berfungsi seperti biasa – Ahmad Faizal
KERAJAAN Negeri Perak masih berfungsi seperti biasa di sebalik perkembangan politik yang berlaku di peringkat kerajaan Persekutuan.
Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau masih melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar seperti yang diamanahkan.
Menurutnya, beliau kekal mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri ((DUN) Perak.
“Manakala barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) juga masih menjalankan tanggungjawab masing-masing seperti biasa.
“Saya telah menyembah maklum berhubung kedudukan politik negara dan negeri kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah semalam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Faizal menyeru persefahaman rakyat bagi membantu usaha-usaha yang sedang dijalankan agar kemelut politik yang sedang melanda negara ketika ini dapat diatasi dengan baik.
Menurutnya, ini untuk membolehkan kerajaan kembali menumpukan usaha-usaha pembangunan untuk kepentingan rakyat.
“Semoga Allah SWT memberikan petunjuk dan hidayah untuk membolehkan kita mendapat penyelesaian terbaik untuk rakyat dan negara,” katanya.
Kerajaan Negeri Perak diterajui oleh Pakatan Harapan dengan kelebihan tiga kerusi sahaja.
Menteri Besar dari parti Bersatu hanya mempunyai satu kerusi pada asalnya sebelum dua wakil rakyat UMNO keluar parti seorang sebagai Bebas dan menyokong Ahmad Faizal, manakala seorang lagi menyertai Bersatu.