Pemimpin kerajaan sedaya upaya cuba penuhi manifesto
PEMIMPIN kerajaan termasuk dari Parti Amanah Negara (Amanah) sedang sedaya upaya memenuhi manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), namun ia memerlukan masa untuk menyempurnakan pelaksanaannya.
Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad berkata pimpinan kerajaan akan tetap menunaikan manifesto yang dijanjikan tetapi mengharapkan sokongan semua ahli dan akar umbi parti untuk menjayakannya.
“Jangan kata pemimpin tidak mahu dengar cakap perwakilan (yang minta tunai manifesto)… kita cuba laksanakan apa yang terdaya, semua pemimpin mahu laksanakan manifesto,” katanya pada sesi penggulungan Jawatankuasa Pimpinan Nasional sewaktu Konvensyen Nasional parti itu, di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.
Sehubungan itu, akar umbi Amanah diminta supaya tidak terus mengkritik kepimpinan kerajaan PH, berikutan masih belum dapat menunaikan sepenuhnya perkara yang dijanjikan kepada rakyat dalam manifesto itu.
Beliau, yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, berkata untuk melunaskan janji manifesto itu adalah sukar kerana negara sedang berhadapan masalah ekonomi.
“Jangan terus menghentam… kita akui (kerajaan) ada kelemahan dari segi komunikasi dan penerangan (berhubung perlaksanakan dasar dan manifesto). Nak ambil alih jentera kerajaan bukan macam nak ambil alih jentera kereta, kita kena fahamlah sebab banyak kekangan… ini termasuk isu ekonomi seperti yang berlaku dalam Tabung Haji,” katanya.
Beliau berkata ahli parti juga diingatkan supaya tidak terus memperlekehkan usaha kerajaan dalam melaksanakan pelbagai dasar dan program pembangunan negara.
Sementara itu, Pengarah Strategi Amanah Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata menteri dalam kerajaan hari ini menggalas tugas berat dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan.
Menteri Kesihatan itu berkata walaupun turut berdepan dengan kritikan pembangkang kerana tidak dapat menunaikan beberapa perkara dalam manifesto, pemimpin kerajaan PH berjaya membuktikan beberapa dasar yang dilaksanakannya diterima baik oleh rakyat.
“Ini termasuk program Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) di bawah Kementerian Kesihatan yang menumpukan kepada kesejahteraan rakyat sehingga program ini turut dipuji ahli Parlimen Rembau (Khairy Jamaluddin).
“Ini turut membuktikan kami (menteri) berjaya melaksanakan tugas kami lebih jauh (baik) daripada (janji) manifesto itu,” katanya. – BERNAMA