Nasional

Kerajaan tak akan lari daripada menunaikan manifesto, beri masa – Guan Eng

SEBANYAK 60 peratus daripada janji-janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sudah ditunaikan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Lim, yang juga Setiausaha Agung DAP, berkata pada ketika ini, rakyat perlu memberi masa kepada kerajaan PH bagi membetulkan masalah kewangan dan status ekonomi negara.

“Kami perlukan masa untuk reformasi, (sebarang perkara) sepanjang 60 tahun ditadbir kerajaan terdahulu tidak boleh ditukar sekali gus dalam masa tiga, empat tahun. Kita perlu yakinkan rakyat bahawa kita tidak pernah lupa janji-janji kepada mereka

“Kita perlu ingat kerana 1MDB kerajaan terdahulu tumbang… kita perlukan masa dan takkan lari dan elak, malah akan berdepan dengan masalah kewangan serta berusaha untuk selesaikannya,” katanya ketika merasmikan Konvensyen DAP Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2019 di sini, hari ini.

Sementara itu, Lim mencabar Ketua UMNO Bahagian Bukit Gelugor Datuk Omar Faudzar untuk menunjukkan bukti jika benar DAP mendaftarkan pelancong China dan India sebagai pengundi hantu pada PRU14.

“Dia (Omar) sudah membuat pembohongan, bahawa DAP mendaftarkan pengundi hantu dari negara China dan India, boleh tunjuk bukti tak Itu kenyataan hasut dan begitu jahat sama sekali dan mahu wujudkan kebencian antara rakyat.

“Ini adalah sesuatu (kenyataan) yang palsu dan saya meminta seluruh negara kita buat laporan polis supaya tindakan diambil ke atas orang jahat,” katanya

Semalam, Omar ketika sesi perbahasan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2019 mendakwa DAP telah mendaftarkan 95 peratus pelancong dari Cina dan India yang tidak meninggalkan negara ini seperti mana yang direkodkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2018, sebagai pengundi PRU14.

Lim berkata laporan polis perlu dibuat di seluruh negara bagi mengecam dakwaan tidak berasas dan berbaur fitnah itu.

Katanya, prinsip DAP terhadap pengundi hantu adalah haram dan sesiapa yang didapati mendaftarkan pengundi hantu dalam parti akan diambil tindakan.

Katanya lagi anggota dan pemimpin DAP perlu berusaha turun padang menjelaskan inisiatif kerajaan secara menyeluruh kepada rakyat bagi membetulkan persepsi mereka.

“Pembangkang suka manipulasikan rakyat menyebabkan DAP dan PH dibenci… Mereka tidak mahu kami mewakili semua kaum, mahu pecah-belahkan kita.

“Inilah masanya kita perlu mempertahankan DAP, PH, keharmonian kaum dan agama, tunjukkan kesetiaan dengan menerangkan inisiatif kami dalam kerajaan kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Lim ketika ditemui pemberita selepas itu menafikan dakwaan kononnya beliau mempunyai kaitan dengan bekas pemimpin utama Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng.

“Ini pun ingin disebarkan, mereka cakap saya ahli keluarga, Teresa Kok (Ahli Parlimen Seputeh) ahli keluarga… kita tak ada hubung kait dengan Chin Peng… nama keluarga mesti sama, kalau ahli keluarga so nama keluarga pun tak sama, mengapa boleh jadi ahli keluarga,” katanya.

Sewaktu konvensyen itu, Lim turut dikejutkan dengan sambutan hari kelahiran ke-59 oleh 107 perwakilan yang hadir.- BERNAMA

(Visited 135 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button