Kerajaan India perlu cermin diri sebelum lulus undang-undang diskriminasi penganut Islam
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengkritik keputusan Dewan Rakyat India meluluskan rang undang-undang (RUU) untuk memberikan kewarganeraan, hanya kepada pelarian bukan Islam.
Sebaliknya, beliau meminta India melihat kepada negara-negara Islam yang menerima rakyatnya bekerja dan tinggal di situ.
“Sepatutnya juga India menyedari betapa ramainya kaum India diterima menjadi pekerja dan bermaustautin di negara umat Islam, khususnya negara Arab yang paling rapat dengan Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Untuk rekod, jutaan rakyat India dianggarkan tinggal di negara-negara umat Islam, antaranya di Emiriah Arab Bersatu (kira-kira 2 juta), Arab Saudi (kira-kira 4 juta) dan Qatar (kira-kira 600,000).
Negara Islam juga mendominasi senarai negara sumber kiriman wang ke India, dengan empat negara Islam berada dalam kedudukan lima teratas senarai itu, diungguli UAE (Amerika Syarikat di tangga kedua), disusuli Arab Saudi, Qatar dan Kuwait.
India yang mempunyai penduduk kira-kira satu bilion, bulan ini meluluskan RUU yang bakal memudah dan mempercepatkan proses memberi kerakyatan kepada pendatang asing di negara terbabit, kecuali kepada pendatang beragama Islam.
Hal itu telah menyebabkan tercetusnya protes di kalangan rakyat yang membantah RUU tersebut sehingga menyebabkan korban nyawa.
Undang-undang itu dikatakan bertujuan memberikan kewarganegaan kepada pelarian bukan Islam dari Afghanistan, Bangladesh dan Pakistan jika mereka didapati melarikan diri daripada penganiayaan agama serta tiba di India sebelum 2015.
Pengkritik menyifatkan rang undang-undang berkenaan sebagai pilih kasih terhadap mereka yang beragama Islam serta sebagai langkah awal terhadap pelan kerajaan nasionalis Hindu melaksanakan Pendaftaran Kewarganegaraan Kebangsaan (NRC) yang mensyaratkan rakyat membuktikan kewarganegaraan mereka.
Mengambil contoh di Malaysia sendiri, Abdul Hadi turut mengulangi hujah Dr Mahathir Mohamad bahawa negara ini menerima pendatang India semasa zaman penjajahan dan memberikan kewarganeraan kepada mereka.
“Sepatutnya India terasa malu kepada Malaysia khususnya yang telah menerima pendatang India yang dibawa oleh penjajah menjadi warganegara Malaysia yang tidak lagi mahu pulang ke India,” katanya lagi.
India pada minggu ini memperkenalkan rang undang-undang (RUU) yang bakal memudah dan mempercepatkan proses memberi kerakyatan kepada pendatang asing di negara terbabit.
Bagaimanapun, RUU tersebut hanya terpakai sekiranya pendatang tersebut bukan beragama Islam.
Laporan CNN menyatakan, RUU Pindaan Kerakyatan itu akan membolehkan pendatang yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama – seperti Kristian, Hindu dan Buddha – dan etnik minoriti lain dari Afghanistan, Bangladesh dan Pakistan boleh mendapat kerakyatan lebih cepat.
RUU tersebut sudah dipersetujui parlimen India dengan keputusan 311 menyokong dan 80 menolak. Ia hanya menunggu masa untuk dihantar dan ditandandatangani Presiden Ram Nath Kovind.
Sebelum ini, undang-undang kerakyatan negara itu – yang diamalkan sejak 64 tahun lalu – menghalang pendatang asing tanpa izin untuk menjadi warganegara.
Walaupun dibantah keras oleh pembangkang, kerajaan yang diketuai parti Bharatiya Janata Party (BJP) berkata ia adalah bagi melindungi puak minoriti agama yang melarikan diri daripada penindasan yang berlaku di negara asal mereka.
Kelulusan RUU tersebut bahkan turut disambut dengan gembira oleh Perdana Menteri, Narendra Modi, yang membuat ciapan di akaun Twitter.
Modi menyifatkan RUU tersebut sebagai mercu tanda kepada India.
“RUU ini akan meringankan kesengsaraan mereka yang dianiaya selama ini,” tambah perdana menteri India itu.
Laporan CNN itu juga memetik pendapat pengkritik yang mengatakan RUU tersebut adalah contoh bagaimana Modi dan BJP cuba untuk menyebarkan agenda nasionalisme Hindu ke dalam negara sekular dengan mengabaikan populasi Muslim di sana.
Pakar sejarah, Mukul Kesavan, yang dipetik BBC pula menyifatkan RUU itu kelihatan dibuat untuk membantu pendatang asing namun tujuan utamanya adalah untuk menghapuskan kewarganegaraan Muslim.
Pengkritik juga berpendapat seandainya betul RUU tersebut diadakan untuk melindungi kaum minoriti, maka mereka juga sepatutnya melindungi Muslim yang mengalami penganiayaan seperti kaum Rohingnya di Myanmar dan juga Ahmadi di Pakistan.