Politik

Kerajaan diminta tidak ganggu akses pendidikan anak-anak

KERAJAAN digesa supaya tidak mengganggu akses pendidikan anak-anak kerana setiap rakyat di negara ini, tanpa mengira kaum atau kelas pendapatan, berhak untuk mendapatkan pendidikan percuma yang berkualiti.

Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin sehubungan itu mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula keputusan untuk menghapuskan subsidi pendidikan di sekolah berasrama penuh yang hanya memberi kesan kepada golongan T15.

“Mereka sudah terpaksa membayar harga petrol yang lebih mahal bermula tahun hadapan, dan kini juga perlu membayar lebih untuk pendidikan anak-anak di asrama penuh.

“Hal pendidikan ini janganlah diganggu,” tegasnya dalam sesi perbahasan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, dasar memberikan pendidikan percuma kepada semua lapisan rakyat yang telah diamalkan sejak dahulu perlu diteruskan demi kesejahteraan dan pembangunan masa depan negara.

Selain itu, Muhyiddin turut menyoal Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pelaksanaan Cukai Barangan Nilai Tinggi (High Value Goods Tax) yang sepatutnya dilaksanakan tahun ini.

“Kita tidak mendengar sebarang berita mengenai perkara ini, adakah ia ditangguh atau dibatalkan?” tanyanya, sambil menekankan pelaksanaan Cukai Jualan sebanyak 10 peratus ke atas barangan bernilai rendah mencerminkan ketidakseimbangan dalam dasar percukaian negara.

“Ini seolahnya orang miskin yang membeli barangan murah dikenakan cukai, manakala orang kaya yang menjual barangan mahal tidak dikenakan cukai. Ini adalah satu dasar yang songsang,” kata Muhyiddin.

Beliau juga meminta penjelasan daripada Perdana Menteri mengenai pelaksanaan dasar gaji progresif yang telah diumumkan oleh kerajaan, sama ada ia akan dilaksanakan, ditangguh atau tidak dilaksanakan langsung.

Muhyiddin menekankan, kerajaan perlu memberikan penjelasan mengenai dasar-dasar ini demi kepentingan rakyat dan memastikan mereka tidak terbeban dengan pelbagai kos yang meningkat. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button