
Anak Sheila Rusly saman Wak Doyo dakwa gagal bayar sewa kenderaan
ANAK lelaki pelakon dan penerbit terkenal Sheila Rusly, Uzair Haqimy Azman, melalui syarikatnya LXM Resources, telah memfailkan tuntutan guaman terhadap WD Food Group Sdn Bhd, syarikat milik pelakon dan pempengaruh Wak Doyok, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Tuntutan itu dibuat atas dakwaan melanggar perjanjian pembayaran sewa kenderaan, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM808,260.
Menurut Uzair, selaku plaintif yang menyediakan perkhidmatan logistik, pihaknya telah memeterai dua perjanjian sewaan kenderaan dengan WD Food (defendan) bagi tempoh 24 bulan setiap satu, bermula pada 22 Disember 2023 dan 21 Jun 2024.
“Pada awalnya, pihak WD Food telah membuat bayaran pendahuluan, namun mereka gagal melunaskan pembayaran tertunggak bagi kedua-dua perjanjian.
”Kami telah cuba menyelesaikan perkara ini secara baik dengan memberikan peluang kepada defendan untuk membuat pembayaran sebelum tindakan guaman difailkan. Namun, setelah gagal mematuhi tuntutan tersebut, kami tidak mempunyai pilihan selain membawa perkara ini ke mahkamah” katanya.
Uzair berkata demikian dalam sidang media di pejabatnya di sini. Turut hadir ialah peguamnya, Ismail Mohamed Arifin dari firma guaman Tetuan Gulam Ismail & Adila.
Sementara itu, Ismail menjelaskan bahawa tuntutan RM808,260 itu merangkumi penalti kelewatan pembayaran, ganti rugi am, faedah sebanyak lima peratus setahun, serta kos tindakan guaman.
“Kami menuntut penghakiman yang adil agar defendan melunaskan tunggakan sepenuhnya beserta penalti yang sewajarnya. Kami berharap mahkamah akan memastikan keadilan berpihak kepada klien kami dan hak mereka dipertahankan” tegasnya.