Politik

Penyasaran subsidi RON95: Kerajaan disifatkan tidak memahami rakyat

Pas mendakwa kerajaan sebagai tidak memahami rakyat apabila bertindak mahu melakukan penyasaran subsidi  minyak petrol RON95.

Pemuda Pas Malaysia berkata, ini berdasarkan pengumuman Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan bahawa kerajaan akan melaksanakan penyasaran tersebut pada tahun hadapan dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada Jumaat  lalu.

“Penyasaran subsidi petrol RON95 adalah bukti yang jelas menunjukkan bahawa kerajaan tidak memahami denyut nadi rakyat.

“Ini bermakna penyasaran subsidi petrol RON95 dilakukan selepas genap setahun pelaksanaan penyasaran subsidi diesel,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Menurut kenyataan itu, banyak permasalahan dan kelompongan masih berbangkit berikutan sistem pelaksanaannya yang masih belum matang.

Tambahnya, perkara sebegini sememangnya berlaku meskipun penyasaran subsidi diesel telah dilaksanakan hampir setengah tahun.

“Antaranya ialah masalah penyaluran bantuan RM200 melalui Program Bantuan Subsidi Madani (BUDI Madani) yang tidak setimpal kepada golongan bersasar.

“Selain itu, kesan inflasi dan kesan berangkai dalam sektor-sektor seperti perkhidmatan, makanan siap dan logistik sedang membelenggu rakyat.

“Walaupun begitu, tiada langkah penyelesaian yang konkrit daripada kerajaan yang mana mereka akan terus melaksanakan dasar-dasar baharu yang akan membebankan rakyat.

“Ini memberi gambaran jelas bahawa kerajaan kurang prihatin terhadap permasalahan rakyat dan tidak menghayati denyut nadi marhaen,” ujarnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button