Ekonomi

Kerajaan diminta perkenal pelekat khas produk vape bercukai

KERAJAAN dicadang memperkenalkan pelekat keselamatan khas untuk produk cecair vape bernikotin dan rokok elektronik yang dalam senarai telah membayar duti eksais.

Cadangan itu dikemukakan oleh pengusaha bagi memudahkan orang ramai mengenal pastikan produk-produk vape yang bercukai dan tidak bercukai di pasaran.

Kata mereka, dengan cara ini akan dapat membendung sebarang usaha untuk menjual produk-produk terbabit secara haram di pasaran.

Salah seorang pengusaha yang juga Pengarah Urusan Nanostix Innovation Sdn. Bhd. (NISB), Shahabudeen Jalil Kamar Jaman berkata, melalui pengenalan pelekat khas duti eksais untuk produk vape itu juga akan memudahkan pemantauan oleh pihak berkuasa terutama Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia.

“Ini akan membantu membendung penjualan cecair vape dan rokok elektrik haram yang tidak dibayar cukai di pasaran.

“Jika pelekat khas ini tidak dilaksanakan setelah penguatkuasaan cukai ke atas produk vape nanti ia dikhuatiri akan menjejaskan usaha pungutan cukai eksais dan berpotensi untuk mengulangi masalah yang dihadapi industri rokok, iaitu kemasukan rokok seludup,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika pembentangan Bajet 2022 di Parlimen, Oktober lalu mengumumkan bahawa kerajaan bercadang mengenakan duti eksais terhadap cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape mulai tahun depan.

Difahamkan duti eksais itu akan mula dilaksanakan pada Januari ini seperti kadar ditetapkan pada Bajet 2022 iaitu RM1.20 untuk setiap mililiter (ml) cecair vape.

Shahabudeen berkata, bagi memastikan pelaksanaan duti eksais itu berjalan lancar tanpa sebarang penyelewengan, Kementerian Kewangan perlu melaksanakan penggunaan pelekat khas berkenaan.

“Penggunaan pelekat ini perlu dilaksanakan sebaik sahaja penguatkuasaan ini bermula iaitu seperti mana yang dicadangkan dalam bajet 2022 iaitu mulai 1 Januari 2022,” katanya.

Shahabudeen juga adalah pengasas NISB iaitu syarikat pertama yang memperkenalkan teknologi vape terkini untuk menjadikannya sebagai pengganti rokok bagi menggalakkan perokok berhenti merokok.

Katanya, NISB merupakan pemain terbesar dalam industri itu di negara ini dengan duti eksais yang bakal dibayar pada 2022 dianggarkan sebanyak RM100 juta.

“Atas pertimbangan jumlah duti yang besar yang bakal dibayar NISB, maka kami memohon kepada Kementerian Kewangan untuk melaksanakan langkah kawalan untuk membendung cecair dan rokok elektronik haram melalui pelaksanaan peraturan tambahan ini,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button