Nasional

Kerajaan bayarkan Perkeso petugas sambilan media – Fahmi

KUCHING: Kementerian Komunikasi melalui BERNAMA akan menampung caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk kesemua pengamal media dalam kategori ‘stringer’ bagi tempoh satu tahun bermula 1 Julai ini.

‘Stringer’ merujuk kepada wartawan sambilan dalam bidang media, dan direkodkan seramai 565 pengamal media berdaftar adalah bertaraf sambilan berdasarkan data Jabatan Penerangan (JaPen).

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata seramai 538 ‘stringer’ tidak mempunyai caruman PERKESO, namun layak untuk didaftarkan.

“Maka, inisiatif ini diumumkan untuk memastikan tiada warga media yang tertinggal daripada bantuan ini.

“Maksudnya, Kementerian Komunikasi melalui BERNAMA akan menanggung sepenuhnya caruman pada tahun pertama bermula pada tarikh tersebut (1 Julai).

“Untuk itu, semua organisasi media berdaftar diminta untuk mengemas kini data masing-masing bagi memudahkan bantuan ini dapat disalurkan oleh kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kemuncak HAWANA 2024 di Hotel Waterfront di sini, hari ini.

Sementara itu, Fahmi turut mendedahkan bahawa pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan semua platform media sosial bagi membincangkan isu pemasaran menerusi semua platform tersebut.

Jelasnya, perkara berkaitan pemasaran iklan telah beralih ke media sosial disebabkan oleh percambahan platform tersebut.

“Beberapa organisasi media memberitahu bahawa jumlah yang sebelumnya dibayar untuk pemasaran setiap bulan mencecah RM4.5 bilion.

“Bagaimanapun, RM2.5 bilion daripada jumlah tersebut tidak lagi pergi kepada organisasi media, tetapi kepada platform media sosial.

“Oleh itu, kita akan berusaha mendapatkan sesuatu untuk semua organisasi media tidak lama lagi, insya-Allah pada bulan Jun ini menerusi perjumpaan yang akan diadakan. Doakan semuanya berjalan lancar,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengumumkan pemberian rebat bil telefon bagi pelan pascabayar untuk semua pengamal media akan dilaksanakan pada hari kebangsaan (31 Ogos).

“Mana-mana organisasi media berdaftar yang masih belum melanggan kadar korporat yang ditawarkan oleh pengendali rangkaian mudah alih (MNO) boleh terus berhubung dengan MNO untuk mendapatkan kadar korporat khas pengamal media bermula 1 Julai ini,” katanya.

Hadir sama, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan barisan tetamu kehormat lain.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button