Kerajaan akan noktahkan ‘sindrom ketagih’ hutang – Anwar
Kerajaan MADANI akan menoktahkan gejala ketagihan kepada hutang bagi memulihkan keyakinan pelabur luar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) hari ini, ahli jawatankuasa senada untuk memperkukuhkan Pejabat Pengurusan Hutang (DMO) bagi menambah baik pengurusan hutang Kerajaan serta memperkemaskan peranan Pejabat Perhubungan Pelabur (IRO) di bawah Kementerian Kewangan, yang menjadi pusat rujukan utama untuk pelabur pasaran.
“Semalam saya telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) yang membincang dan meneliti senario terkini ekonomi Malaysia serta unjuran jangka pendek dan sederhana kedudukan fiskal negara,” katanya dalam kenyataan di platform X.
Turut hadir dalam mesyuarat itu Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Menteri Ekonomi, Menteri Kewangan II, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Gabenor Bank Negara serta pegawai kanan Kementerian Kewangan.
“Saya maklum bahawa langkah reformasi fiskal ini adalah sesuatu yang berat bagi kita semua, namun usaha ini perlu dimulakan untuk merancakkan semula ekonomi negara yang tidak berkembang sejak lebih 20 tahun lalu.
“Hakikatnya, dengan hasil cukai sebanyak 11.8 peratus sahaja daripada KDNK, Kerajaan punyai ruang terhad untuk melabur dalam aspek pembangunan rakyat dan memberi bantuan sewajarnya kepada golongan rentan serta yang memerlukan.
“Bagi mengorak langkah Malaysia menggapai tahap ekonomi berpendapatan tinggi yang bersandarkan nilai manusiawi, Kerajaan perlu melaksanakan pembaharuan fiskal agar ia bertunjang di landasan yang mampan dan utuh.
“Pembaharuan fiskal akan ditumpukan kepada penyasaran subsidi dan memperluaskan asas hasil bagi mewujudkan ruang fiskal yang dapat diagihkan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya. – SM