Politik

Keputusan PH guna dana PNB selamat Sapura tidak dipersetujui

NAIB Presiden PKR yang hilang selama empat tahun dari pentas politik, Rafizi Ramli berkata, beliau tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyuntik dana Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk menyelamatkan Sapura Energy Bhd pada 2018.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, beliau tidak ada pengaruh, jawatan atau kedudukan ketika berada di bawah kerajaan PH.

Sebaliknya, beliau lantang mengkritik beberapa keputusan yang dibuat oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri pada ketika itu.

“Langkah menyuntik dana PNB untuk menyelamatkan Sapura ketika itu adalah satu lagi keputusan pentadbiran Tun Mahathir Mohamad yang saya tidak bersetuju,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rafizi menegaskan beliau kekal dengan pendirian bahawa semua bentuk “bailout” (penyelesaian) yang melibatkan suntikan dana awam untuk menyelamatkan syarikat korporat adalah buruk dan wajar ditolak.

Pada masa sama, Rafizi berkata, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak pula tidak konsisten dalam pendiriannya apabila menggesa langkah sama yang pernah dilakukan kerajaan PH pada 2018.

“Saya konsisten dengan pendirian ini, tidak kira pihak mana yang mengutarakannya, bukannya seperti Najib yang autanya mengikut rasa pengendali laman sosialnya (“Admin FB”).

“Sedang dia mengkritik tindakan PH “bailout” Sapura dalam tahun 2018, kini dia pula perasan cerdik dan berlakon prihatin apabila menggesa perkara yang sama dalam tahun 2022 ini,” kata Rafizi yang menyelar tindakan Najib berhubung isu Sapura.

Rafizi berkata, pendekatan “bailout” adalah buruk kerana ia sebenarnya menggalakkan usahawan korporat mencari jalan singkat dalam mengaut keuntungan dengan mendadak dan ia sama seperti menswastakan keuntungan dan memiliknegarakan kerugian.

Sehubungan itu, Rafizi menggesa agar Ahli Parlimen PKR mula menggubal satu rang undang-undang yang mengawal selia sebarang suntikan dana awam berbentuk “bailout” untuk dibentang di Parlimen kelak.

“Penggubalan akta seperti ini adalah perlu untuk mengekang amalan kapitalisme kroni (crony capitalism),” kata Rafizi lagi.

Untuk rekod, Sapura, sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengumumkan kerugian RM8.9 bilion tahun lepas yang menurut Najib adalah jumlah terbesar bagi mana-mana GLC Malaysia dalam sejarah.

Perang mulut di antara Najib dan Rafizi tercetus selepas syarikat tersebut meminta Putrajaya campur tangan dengan memberikan pinjaman dengan faedah mudah atau jaminan pinjaman kepada Sapura untuk menyelesaikan masalah aliran tunainya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button