Kepentingan peneroka FELDA perlu diutamakan dan dilindungi
Pengambilalihan dan penguasaan FELDA ke atas syarikat agrokomoditi pertanian global Malaysia, FGV Holdings Bhd perlu mengambil kira kepentingan dan perlindungan peneroka sebagai aset berharga yang terarah kepada pelan pemulihan yang lebih mampan serta menguntungkan ekonomi negara semula.
Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara melahirkan keprihatinan tinggi bahawa sebahagian besar peneroka selaku pemegang saham FGV Holdings Bhd selain warga FELDA mendapat manfaat yang sewajarnya.
Senator Datuk Razali Idris berkata, dalam hal ini, keuntungan bersama perlu dititikberatkan dengan terma yang munasabah dan tidak membabitkan kepentingan peribadi mana-mana pihak. Moga sesi penerangan yang sudah dilaksanakan kepada Ahli Jawatankuasa Perunding Peneroka, Majlis Belia FELDA Malaysia, Kami Anak FELDA, pengurusan wilayah dan rancangan FELDA, kakitangan serta pesara FELDA untuk membolehkan mereka memahami kepentingan usaha yang dijalankan dan disampaikan kepada warga peneroka mendapat pencerahan yang sangat jelas.
“Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara berharap demi kepentingan 112,638 peneroka dan dua juta warga besar FELDA, pastinya pengambilalihan FELDA ke atas FGV Holdings Bhd dilaksanakan secara lancar, harmoni dan baik.
“Ini termasuklah soal harga tawaran RM1.30 sesaham perlu wajar mengikut harga sama yang dirundingkan secara bebas dan profesional dengan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dan Urusharta Jamaah Sdn Bhd bersesuaian harga pasaran semasa. Justeru, keutamaan pengurusan tadbir urus serta kecekapan kewangan proses pengambilalihan syarikat daripada FELDA dituntut tanpa mengabaikan kepentingan pihak-pihak yang terlibat,” katanya.
Kata beliau, adalah menjadi suatu keprihatinan, Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara berpandangan langkah susulan selepas pengambilalihan FGV Holdings Berhad selesai kelak hendaklah seperti berikut;
Satu sesi penerangan yang jelas dan lengkap berkaitan potongan yang dibuat yang terkandung dalam hutang besar peneroka hendaklah dilaksanakan pihak berkepentingan dan berkaitan.
Memberi jaminan prestasi termasuk harga dan kadar perahan minyak sawit diperhalusi, dibincangkan dan ditambahnilai menerusi rundingan bersama terutama bagi melindungi hak peneroka.
Mengembangkan dan menambah nilai aktiviti hiliran secara lebih mampan dalam industri minyak sawit.
Pengambilalihan FGV Holdings Berhad perlu menjadi tunjang kemajuan FELDA semula melalui pewujudan kerja berpendapatan tinggi, ekonomi berskala besar, mempertingkatkan taraf pendidikan dan latihan, memperkasakan kebajikan peneroka dan generasi peneroka serta membangunkan keusahawanan dalam kalangan generasi kedua dan ketiga peneroka.
FELDA perlu memastikan untuk terus melindungi peneroka dan aset syarikat daripada dimanipulasikan pedagang rakus, syarikat konglomerat asing dan pihak tertentu yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan organisasi.
Sehubungan itu, Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara mengulangi pendirian bahawa keutamaan peneroka adalah sangat penting dalam kesejahteraan kehidupan terutama ketika ini rakyat sedang mendepani pandemik COVID-19.