JABATAN Mufti terus mempergiatkan Kempen Perlis Berzikir di negeri ini apabila kali ini melibatkan penduduk nelayan di sekitar Kuala Perlis.
Sekaligus ianya dapat memberi peringatan kepada kaum nelayan dan keluarga mereka supaya sentiasa mengamalkan zikir sambil mencari rezeki.
Mufti Perlis, Prof Datuk Dr. Mohd Asri Zainal Abidin telah melancarkan program ini di Pelantar Ikan Seberang Alor Kuala Perlis, hari ini.
Hadir sama Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Najmuddin Abdul Karim.
Pada majlis ini, Mohd Asri juga menyampaikan gegantung (bunting) kepada 15 pengusaha kedai makan di sekitar Kuala Perlis.
Juga turut disampaikan gegantung kepada wakil penduduk di perkampungan nelayan ini.
Pada gegantung ini tertera zikir mudah untuk diamalkan selain doa makan untuk pengunjung restoran.
Kempen Perlis Berzikir telah dilancarkan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada 18 Mac tahun lalu.
Tujuannya untuk menggalakkan umat Islam di negeri membasahkan lidah dengan amalan berzikir di dalam menjalani kehidupan seharian. – SM