Nasionalpilihan

SPR wartakan 83,783 warganegara berumur 18 tahun sebagai Daftar Pemilih Tambahan

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan seramai 83,783 warganegara berumur 18 tahun dan ke atas diperaku sebagai Daftar Pemilih Tambahan Bulan September 2022 (DPT BLN9/2022) pada 1 Disember serta diwartakan pada 2 Disember.

Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, turut didaftarkan 27,104 pemilih yang bertukar bahagian pilihan raya dan 11,049 orang pemilih bertukar status atau kategori pengundi.

Justeru, beliau meminta pemilih berkenaan untuk menyemak daftar tersebut menerusi laman tertera.

“SPR menyeru kepada warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 September 2022 hingga 30 September 2022 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN9/2022.

“Sekiranya mereka mendapati namanya tidak disenaraikan dalam DPT BLN9/2022, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang Berkenaan.


“Mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya dengan mengisi Borang D dan hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jelas Ikmalrudin, Borang C dan D dimuat turun dari portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja.

“Untuk sebarang pertanyaan mengenai urusan semakan DPT BLN9/2022 ini, orang ramai boleh melayari portal rasmi SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau hubungi SPR di talian 03-8892 7218 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri,” tambah beliau.

(Visited 66 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button