Politik

Kementerian Pendidikan perlu berhenti buat keputusan flip-flop

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia perlu berhenti daripada terus membuat keputusan berkaitan pembukaan dan penutupan sekolah secara sela menyela atau flip flop.

Keputusan yang tidak tetap dalam satu-satu polisi berkaitan pendidikan amat menyusahkan pelajar, ibu bapa dan guru.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keputusan berkaitan pendidikan memberi impak yang besar kepada keluarga yang berpendapatan kecil untuk membuat persediaan berkaitan pendidikan anak-anak mereka.

“Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengumumkan pembukaan sekolah secara berperingkat mulai 1 Mac.

“Ia sangat menyusahkan pelajar dan ibu-bapa dan guru-guru. Kebanyakan ibu bapa telah bergolok bergadai untuk membelikan pelbagai peranti digital bagi pembelajaran secara online.

“Semua ini sangat membebankan kepada mereka yang berpendapatan rendah dan mempunyai keluarga yang besar,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau itu mengulas pengumuman Menteri Pendidikan Datuk Dr. Radzi Jidin semalam bahawa sekolah akan mula dibuka bermula 1 Mac depan.

Mohamad berkata, keputusan kementerian itu dilihat mengelirukan terutama mengenai hala tuju sebenar mod pendidikan digital kementerian tersebut.

Tambahan pula kerajaan baharu sahaja melancarkan Didik TV bagi menjayakan mod pengajaran dan pembelajaran secara digital di rumah.

Beliau menegaskan pendidikan anak-anak adalah urusan penting yang tidak boleh terhenti dan akan menjadi kucar kacir dengan keputusan secara sela menyela.

“Semua ini menghantar isyarat yang sangat mengelirukan tentang ke mana halatuju sebenar mod pendidikan digital KPM.

“KPM wajar memperkasakan pembelajaran digital sementara negara pulih sepenuhnya dari wabak covic19 ini.

“Mengambil kira segala kemungkinan dan kemampuan kita menanggani dampak wabak ini sebelum membuat keputusan membuka semula sekolah adalah sangat mustahak.,” katanya.

Murid sekolah rendah Tahun 3 hingga 6 akan hadir ke sekolah mulai 8 Mac ini. Murid pra-sekolah, tahun 1 dan 2 pula akan bermula lebih awal, pada 1 Mac ini.

Bagi murid sekolah menengah kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu), mereka akan memulakan sesi persekolahan pada 4 April manakala sekolah di negeri-negeri lain akan bermula pada 5 April ini.

Sebelum ini ibu bapa pelajar dan juga guru terpaksa mengeluarkan duit membeli gajet seperti telefon, tablet dan komputer bagi pembelajaran di rumah menerusi dasar Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).-SM

(Visited 773 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button