Kementerian Dalam Negeri teliti rang undang-undang baharu hantar pesalah dadah ke institut pemulihan
KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) akan membentangkan kepada kabinet rang undang-undang baharu berkaitan dadah dan penyalahgunaan dadah pada Julai tahun ini.
Sebaik sahaja dikuatkuasakan, ia akan menyaksikan pesalah yang didapati mempunyai sejumlah kecil dadah akan dihantar ke institut pemulihan dan bukannya penjara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, RUU itu dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa penguatkuasaan undang-undang mengenai dadah di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Rang undang-undang itu, katanya, akan membuka jalan kepada akta baharu yang dinamakan Penyalahgunaan Dadah dan Bahan untuk menangani peruntukan sedia ada di bawah Seksyen 15 dan Seksyen 12 Akta Dadah Berbahaya.
“Pesalah akan dihantar ke institusi pemulihan di bawah AADK dan bukan ke penjara.
“Ketua Setiausaha kementerian dan saya telah diberi taklimat mengenai perkembangan rang undang-undang itu dan ia bergerak seperti yang dijadualkan. Sasaran kita ialah membawanya ke kabinet pada Julai.
“Apabila kelulusan diberikan oleh kabinet, kita akan bekerjasama dengan Jabatan Peguam Negara untuk menyediakan draf. Jika semua berjalan lancar, bacaan pertama boleh dibuat di parlimen tahun ini,” katanya selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya Madani Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini. -SM
BACA JUGA : Empat ditahan, RM5.5 juta dadah dirampas