Nasional

Kembangkan industri kreatif, pengambaran filem dengan pembaharuan MoC Malaysia-Jepun – Annuar Musa

MALAYSIA mencadangkan kepada Jepun supaya Memorandum Kerjasama (MoC) Malaysia-Jepun mengenai Maklumat dan Komunikasi antara kedua-dua negara diperbaharui dengan meluaskan skop kerjasama termasuk dalam pembikinan filem dan industri kreatif.

Perkara itu dibangkitkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa ketika menerima kunjungan hormat Duta Jepun ke Malaysia Takahashi Katsuhiko di kementerian itu semalam (7 Jun).

Annuar berkata beliau turut mencadangkan supaya aspek keselamatan siber, perlindungan data peribadi, pembangunan ekonomi digital dan kerjasama digital rentas sempadan diutamakan dalam kerjasama masa depan.

Malaysia dan Jepun telah menandatangani MoC mengenai Maklumat dan Komunikasi pada 17 Januari 2017, untuk meningkatkan kerjasama dalam sektor maklumat dan komunikasi, khususnya dalam bidang penyiaran.

“Selain daripada bidang yang biasa bekerjasama, saya meminta industri kreatif dan pengambaran filem dijadikan satu lagi skop untuk dimasukkan dalam kerjasama antara kedua-dua negara,” katanya kepada pemberita selepas lawatan itu.


Dalam pertemuan itu, Annuar berkata beliau turut menjemput pengarah dan penerbit filem dari Jepun datang ke negara ini bagi penggambaran filem dan menyertai program seperti Insentif Filem di Malaysia (FIMI) yang secara tidak langsung mempromosikan keindahan Malaysia kepada dunia.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ini boleh membawa impak positif kepada industri pelancongan negara serta usaha menarik syarikat asing melabur di Malaysia.

Annuar berkata beliau juga mengambil peluang untuk mendapatkan sokongan Jepun bagi pencalonan Malaysia bagi Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bagi Wilayah E (Asia dan Australasia) pada Persidangan Mutlak (PP22) di Romania dari 26 September hingga 14 Oktober depan.

Selain itu, beliau turut berkongsi mengenai perkembangan rangkaian 5G di Malaysia dan pendekatan Rangkaian Borong Tunggal (SWN) bagi menyegerakan pelaksanaannya dan memastikan orang ramai menikmati perkhidmatan itu pada harga yang lebih murah.

Sementara itu, Annuar menyifatkan lawatan Takahashi sebagai keazaman kerajaan Jepun untuk memastikan hubungan erat sedia ada dengan Malaysia terus diperkukuhkan. – SM

(Visited 36 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button