Kematian Muhammad Adib Mohd. Kassim: Belum ada keadilan – Haniff Khatri
ANALISIS
EKORAN keadilan masih belum dicapai untuk Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim ekoran insiden rusuhan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman, Petaling, Selangor pada 26 November 2018 lalu, hari ini, ada pihak yang mempersoalkan sampai bilakah keluarga allahyarham Adib perlu menunggu untuk satu keadilan dilaksanakan ke atas kematian anggota Bomba dan Penyelamat negara itu?
Seorang peguam, Haniff Khatri membuat entri yang cukup panjang untuk dihadamkan oleh rakyat Malaysia. Catatan itu dikongsi di SUARA MERDEKA dengan ayat pemula, Rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman merupakan insiden rusuhan selama dua hari yang berlaku pada 26.11.2018 hingga 27.11.2018 di kawasan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, Petaling, Selangor.
Menurut catatan Haniff, rusuhan itu berpunca daripada perselisihan faham di antara pihak kuil dan pihak pemaju iaitu One City Development Sdn. Bhd. dalam isu pemindahan kuil tersebut.
Kesannya, tulis Haniff, insiden rusuhan ini telah mengakibatkan kerosakan harta benda awam. Rusuhan hari kedua juga, catat Haniff, telah menyaksikan kecederaan parah seorang anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang bertugas di Balai Bomba Subang Jaya.
Pada awalnya, menurut hemat Haniff, Allahyarham Adib telah dibantu oleh beberapa individu yang hadir di kuil tersebut dan Adib kemudian dihantar ke Pusat Perubatan Ramsay Sime Darby (juga dikenali sebagai Subang Jaya Medical Center atau SJMC) untuk mendapatkan rawatan.
Akibat kesihatannya yang semakin merosot, Allahyarham Adib kemudiannya telah dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) di mana dia memerlukan penggunaan mesin ECMO, tulis Haniff.
Walaupun pada mulanya Allahyarham Adib dilaporkan pulih dengan baik, Adib akhirnya meninggal dunia pada malam 17.12.2018 ketika masih dalam rawatan rapi di IJN.
Allahyarham Adib dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid As-Saadah di Kampung Tebengau, Kuala Kedah pada 18.12.2018.
Tanggal 17.12.2020 merupakan tarikh ulang tahun kedua kembalinya Allahyarham Adib kerahmatullah namun pada hari ini, 20.12.2020, tulis Haniff, Menteri Parlimen dan Undang-undang TAKIYUDDIN HASSAN dipetik media memberi kenyataan yang bukan sahaja BERCANGGAH malah TIDAK MASUK AKAL sama sekali berhubung siasatan terkini kes ini !
“Takiyuddin: K’jaan jamin keadilan sewajarnya buat keluarga Adib” telah memetik TAKIYUDDIN HASSAN antara lain sebagai berkata: “Kerajaan memberi jaminan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk memberi keadilan buat keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang meninggal dunia semasa bertugas ketika berlaku rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya dua tahun lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan.
Beliau berkata, setakat ini pihak Jabatan Peguam Negara masih menunggu hasil siasatan polis yang difahamkan kini di peringkat akhir, sebelum tindakan seterusnya dapat diambil.
“Satu inkues telah dibuat di mahkamah, kemudian koroner atau hakim yang mendengar inkues membuat verdict (keputusan) bahawa punca kematian adalah kerana tindakan jenayah oleh dua orang atau lebih, yang tidak diketahui,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan bersama Datuk Bandar dan Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan (PBT) Kedah di Baling, hari ini.
“Itu verdict oleh koroner, jadi menyebabkan pendakwa raya apabila hendak mendakwa seseorang, perlu mengenal pasti pembuat jenayah itu, jadi oleh kerana verdict itu mengatakan orang yang tidak diketahui maka menyebabkan tindakan pendakwaan tidak dapat dibuat.
“…saya difahamkan bahawa Jabatan Peguam Negara meminta pihak polis membuat siasatan lanjut dan saya difahamkan pihak polis turut mencadangkan diadakan inkues baru, tapi setakat ini tiada lagi inkues baru,” katanya.”
PERCANGGAHAN DAN KETIDAKMUNASABAHAN KENYATAAN TAKITUDDIN HASSAN
Seperti yang ditajukkan di atas kenyataan TAKIYUDDIN HASSAN ini pada hakikatnya BERCANGGAH dengan rentetan perkembangan kes ini seperti yang telah dilaporkan dalam media sebelum ini dan seperti yang dipetik dalam Siri : 2242 yang ditulis saya pada 11.08.2020 yang lalu, iaitu pada 21.06.2020, Menteri Parlimen dan Undang-undang TAKIYUDDIN HASSAN yang sama ini secarasendiri telah dipetik Malaysiakini sebagai berkata :
“Kes kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim hanya dapat diteruskan selepas pihak polis berjaya mengenal pasti dan menahan pembunuhnya untuk didakwa.”,
“Oleh sebab itu pihak polis perlu dan sedang menjalankan siasatan untuk kenal pasti pelaku. Itu yang sudah dilaporkan kepada kabinet.”, dan
“Jadi kerajaan atau pihak Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan hasil daripada siasatan pihak polis, kita tunggulah, … ”
Pada 30.06.2020, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed telah dipetik Malaysiakini sebagai berkata: “Polis sudah hampir menyelesaikan siasatan terhadap kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.”
“Kita akan ambil tindakan sepertimana arahan pendakwa raya. Dalam tempoh terdekat, kita akan dapat selesaikan (kertas siasatan) seperti yang diarahkan.”dan “Kita akan hantar (kertas siasatan) dan bincang dengan peguam negara, … ”
Pada 04.07.2020 pula Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador telah pula dipetik Malaysiakini sebagai berkata, “Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan tugas mereka menyiasat kes kematian Muhammad Adib Mohd Kassim dan kertas siasatan mengenainya dihantar ke Jabatan Peguam Negara (AGC),” kata Abdul Hamid Bador dan terpulang kepada permintaan AGC, kalau perlu kita buat (panggil semula saksi kes Adib untuk lengkapkan kertas siasatan).
Namun, selepas itu Ketua Polis Negara Abdul Hamid telah dilaporkan pada 10.07.2020 oleh Malaysiakini sebagai berkata pula : “Polis mencadangkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya menubuhkan pasukan khas bagi mengkaji semula keterangan saksi berhubung kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata cadangan pasukan kajian semula itu dibuat susulan keterangan saksi yang diambil selepas Mahkamah Koroner memutuskan punca kematian arwah adalah akibat perbuatan jenayah.
Beliau berkata, susulan arahan Koroner, polis merakam semula keterangan 30 saksi yang sebelum ini tampil ketika ikues kematian Muhammad Adib termasuk dua anggota bomba yang berada dekat dengan arwah ketika kejadian, serta 52 saksi baharu.
“Dua anggota bomba yang berada dekat dengan arwah secara konsisten mengatakan mereka tidak nampak siapa yang memukul dan mencederakan Muhammad Adib.
“Terdapat juga percanggahan keterangan daripada dua pakar patologi iaitu seorang yang dilantik keluarga dan seorang daripada Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang menjalankan bedah siasat,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, hari ini.
Difahamkan, ketika diambil keterangan semula oleh polis selepas perintah dikeluarkan oleh Koroner, seorang saksi yang sebelum ini mendakwa nampak mangsa dipukul, mengubah keterangan mengatakan perkara itu tidak berlaku.
Susulan perkembangan itu, keterangan terbabit akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut terhadap saksi berkenaan.”
Semestinyalah, akibat daripada kenyataan Abdul Hamid Bador yang bercanggah dan penuh kontroversi itu, sekumpulan lapan peguam yang mewakili keluarga Allahyarham Adib semasa prosiding di Mahkamah Inkues, telah bagi pihak anakguam mereka keluarkan satu kenyataan rasmi yang mencabar kenyataan Abdul Hamid Bador itu, yang juga telah dilaporkan oleh Sinar Harian pada 12.07.2020, iaitu :
“Adalah tidak adil untuk Abdul Hamid merumuskan kononnya tiada keterangan yang dapat mengaitkan arwah Muhammad Adib dibunuh, hanya kerana dua orang pegawai bomba yang bersama Adib pada malam kejadian mengatakan mereka tidak nampak apa yang berlaku,” katanya.
Menurutnya, Abdul Hamid cuba menggambarkan kononnya Allahyarham Muhammad Adib tidak diserang kerana tiada kesan kecederaan mempertahankan diri pada tubuhnya.
“Dakwaan ini sudahpun dijawab dengan jelas di dalam inkues dan tindakan Abdul Hamid menimbulkan semula perkara ini menunjukkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak meneliti dan tidak faham kronologi kejadian kes ini berdasarkan keterangan dan bukti-bukti yang ada,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, Mahkamah Koroner telah memberikan dapatannya tentang punca dan sebab kematian Allahyarham Adib.
“Memandangkan keputusan tersebut tidak pernah dicabar oleh mana-mana pihak melalui proses rayuan atau semakan yang sah, maka ianya adalah kewajipan polis untuk menjalankan siasatan bagi mencari siapakah dia ‘dua atau lebih orang’ yang menyebabkan kematian arwah Muhammad Adib.
“Justeru itu, kami dengan tegas menolak sebarang keperluan untuk siasatan semula punca kematian kononnya melalui satu ‘pasukan kajian semula'” katanya.”
Perbalahan pendapat di antara Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dan sekumpulan lapan peguam yang mewakili keluarga Allahyarham Adib tidak berhenti di situ dan terus berlanjutan, apabila pada 14.07.2020 Abdul Hamid Bador sekali lagi dipetik membuat kenyataan menafikan kenyataan dan menyangkal dakwaan wakil keluarga Allahyarham Adib itu, seperti yang dilaporkan oleh MSTAR seperti berikut :
“POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menyangkal dakwaan tidak menghormati dan mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan keputusan mahkamah koroner berhubung kes kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam satu kenyataan memaklumkan tiada fakta yang terpesong, tidak benar dan menyimpang pada sidang media dibuatnya, Jumaat lepas (10 Julai).
“Segala fakta yang diberikan adalah hasil siasatan serta dapatan terkini dan ia bukan untuk menyanggah hasil daripada keputusan inkues.
“Sehingga kini, kes Allahyarham Muhammad Adib tidak pernah ditutup, masih diteruskan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas keluarga Allahyarham Muhammad Adib melalui barisan peguamnya mendakwa PDRM jelas tidak menghormati serta bercanggah dengan keputusan mahkamah koroner.”
Perkara ini diburukkan lagi apabila pada 04.08.2020 Menteri Dalam Negeri kini, Hamzah Zainuddin semasa menjawab soalan di Dewan Rakyat telah membuat kenyataan seperti dilaporkan BH Online iaitu “Kertas siasatan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara pada 23 Julai lalu, dengan disusuli beberapa cadangan.
Rujukan semula kes itu antara lain mencadangkan supaya 12 suspek yang sebelum ini disyaki terbabit dalam kematian Adib pada 17 Disember 2018 itu, dituduh mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan (KK).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, ketika memperincikan perkembangan kes itu berkata, cadangan lain yang turut dikemukakan ialah membuka semula inkues untuk siasatan sekiranya mendapat persetujuan Peguam Negara.
“Ini akan dibuat mengikut peruntukan Seksyen 339(2) Kanun Tatacara Jenayah. Siri tindakan ini susulan keputusan yang dicapai Mahkamah Koroner Shah Alam pada 27 September lalu.”
Kenyataan Hamzah Zainuddin itu, sepertimana kenyataan TAKIYUDDIN HASSAN yang dipetik di Perenggan 5 di atas, bukan sahaja bercanggah, tidak munasabah, janggal, pelik dan menggelirukan, malah ianya tidak masuk akal dan menampilkan pelbagai persoalan perundangan lanjut seperti berikut :
Apakah yang berlaku dengan permintaan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador pada 10.07.2020 kepada Kementerian Dalam Negeri untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Siasatan Khas, sedangkan tanpa menjawab permintaan Ketua Polis Negara itu, Hamzah Zainuddin mengatakan bahawa Kertas Siasatan telah dimajukan semula ke Pejabat Peguam Negara pada 23.07.2020, kononnya untuk mencadangkan supaya 12 suspek yang sebelum ini disyaki terbabit dalam kematian Adib pada 17 Disember 2018 itu, dituduh mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan dan juga untuk mencadangkan supaya membuka semula inkues untuk siasatan sekiranya mendapat persetujuan Peguam Negara ?
Mengapakah pula dipilih untuk mencadangkan supaya membuka semula inkues untuk siasatan sekiranya mendapat persetujuan Peguam Negara sedangkan pada 27.09.2019 pada tarikh Keputusan Mahkamah Inkues pertama, Menteri Dalam Negeri pada ketika itu yang kini merupakan Perdana Menteri, iaitu Muhyiddin Yassin, telah mengatakan bahawa Kerajaan akur dengan Keputusan Mahkamah Inkues pada 27.09.2019 itu, dan akan meminta pihak polis mengadakan siasatan lanjutan daripada penemuan Inkues bahawa kematian Allahyarham Adib adalah diakibatkan oleh perbuatan jenayah yang dilakukan “dua orang atau lebih yang tidak dikenali” ?!
Walhal, tempoh masa untuk pihak Kerajaan membuat apa-apa cabaran terhadap Keputusan Mahkamah Inkues dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh 27.09.2019 sudahpun lama luput, iaitu pada 26.12.2019, yakni hampir SATU (1) TAHUN yang lalu ?!
Dari sudut perundangan, bukankah cadangan untuk membawa pertuduhan jenayah terhadap 12 individu di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan, iaitu “merusuh dan merosakkan jentera bomba” itu dari segi perundangan, tiada kaitan langsung dengan penyelesaian isu jenayah yang akibatkan kematian Allahyarham Adib itu ?!
Jikapun, “jentera bomba” yang dikatakan telah “dirosakkan dalam rusuhan” oleh 12 orang individu tersebut adalah “jentera bomba’ yang dinaiki oleh Allahyarham Adib pada malam kecederaan parah beliau, maka bukankah secara munasabah individu yang telah dikenalpasti sebagai 12 orang itu, adalah antara individu yang telah juga mengakibatkan kecederaan parah sehingga mengakibatkan kematian Allahyarham Adib, dan jika itu hakikatnya, maka kenapakah tidak ada mana-mana daripada 12 oang itu yang dicadangkan untuk dipertuduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu “membunuh” Allahyarham Adib ?!
SARANAN UNTUK MUKTAMADKAN ISU KEMATIAN ALLAHYARHAM ADIB
Justeru saya sesungguhnya sarankan kepada TAKIYUDDIN HASSAN untuk bersifat tegas dengan JUJUR dan IKHLAS untuk majukan permintaan agar Peguam Negara Idrus Harun akan dengan serta merta mengeluarkan satu Kenyataan Rasmi yang lengkap dan menyeluruh berhubung isu siasatan kes kematian Allahyarham Adib ini memandangkan sudah lebih DUA (2) TAHUN berlalu sejak kematian Allahyarham Adib pada 17.11.2018, dan sudah lebih SATU (1) TAHUN dan TIGA (3) BULAN berlalu sejak Keputusan Mahkamah Inkues pada 27.09.2019, namun kesemua pihak yang terbabit samada Kementerian Dalam Negeri, pihak Polis DiRaja Malaysia dan pihak Pejabat Peguam Negara masih belum memuktamadkan isu ini !!
Namun, sekiranyalah dan pada hakikatnya, pihak polis dalam siasatan mereka sememangnya tidak dapat kenal pasti identiti mana-mana individu yang menyebabkan perbuatan jenayah yang akibatkan kematian Allahyarham Adib itu, maka saya juga sarankan agar TAKIYUDDIN HASSAN, Peguam Negara Idrus Harun dan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador serta Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin, kesemuanya beranikan diri untuk memberi penjelasan yang lengkap dan telus, kerana rakyat dan keluarga Allahyarham Adib akan dapat menerima jawaban yang betul dan benar jika pada hakikatnya ia adalah dijelaskan dengan telus dan ikhlas, dan bukannya “sekadar melepaskan batuk di tangga”, agar keyakinan semua kepada pematuhan prinsip kedaulatan undang-undang dapat kembali dipulihkan. – SM