Keluarlah mengundi esok, tak perlu bimbang, keselamatan terjamin – Muhyiddin
KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) hari ini memberi jaminan bahawa polis sentiasa bersiap sedia untuk memastikan keselamatan ketika proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai berjalan lancar, esok.
Menterinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata masyarakat di kawasan terlibat tidak perlu bimbang dan takut untuk keluar menunaikan tanggunggjawab mereka mengundi.
“Saya bagi jaminan selaku Menteri KDN, polis mempunyai tenaga yang cukup untuk menentukan perjalanan pilihan raya berjalan lancar.
“Setakat hari ini keadaan cukup terkawal. Kita yakin keadaan keselamatan baik,” katanya kepada pemberita selepas bertemu pemandu kenderaan dan petugas ejen pengundian, ejen pengiraan dan barung (PACABA) Pakatan Harapan di Eco Rambah, di sini, hari ini.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata berkata demikian ketika ditanya mengenai persiapan terakhir polis menjelang hari pengundian esok.
Pada PRK kali ini, 1,700 anggota dan pegawai polis ditugaskan sepanjang tempoh kempen dan hari pengundian.– BERNAMA