Kelopak mata melekat atas bawah, ibu tertumpah gam 3 saat atas wajah anak
MALANG tidak berbau apabila seorang ibu tidak sengaja tertumpah gam tiga saat di seluruh wajah anaknya yang berusia dua tahun sehingga perlu dikejarkan ke hospital.
Bulu mata kanak-kanak tersebut terpaksa dipotong dan pembedahan terpaksa dilakukan untuk menghilangkan gam di kedua-dua kelopak mata.
Sifat gam tiga saat yang cepat melekat tidak dapat dihilangkan walaupun bertindak pantas mencuci gam tersebut.
Pegawai Perubatan Oftalmologi, Dr Syaz menerusi Facebooknya, Syed Abu Zulfadhli Al-qadrey telah berkongsi kejadiaan tersebut.
Menurutnya, kanak-kanak tersebut di hantar ke jabatan kecemasan sebuah hospital sebelum diarahkan ke wad mata untuk pemeriksaan.
“Pada satu malam hari minggu, menerima panggilan dari jabatan kecemasan. Seorang budak dua tahun terkena gam tiga saat yang banyak dijual dekat Mr DIY.
“Habis satu muka terkena katanya, mata tak boleh buka langsung. Pertama kali dapat kes seperti ini. Kemudian pesakit diarahkan ke wad mata untuk diperiksa,” tulisnya pada hantaran di Facebook.
Dr Syaz berkata, ibu kanak-kanak tersebut tidak sengaja telah menumpahkan gam tersebut ke wajah anaknya ketika sedang mengemas rumah.
“Sejarah pesakit diambil daripada ibunya. Ketika si ibu melakukan kerja di rumah, dia panjat kerusi nak pasang hiasan pada rumahnya. Anaknya girang bermain di kerusi ibunya dan memegang kerusi tak nak ibunya jatuh.
“Tanpa sedar gam tiga saat yang dipegang ibu tertumpah dan terkena pada seluruh muka anaknya. Allahuakhbar, pantas ibu membasuh muka anaknya dan dibawa terus ke hospital,” katanya.
Jelasnya lagi, gam tiga saat cepat mengeras apabila terkena kulit tangan dan sangat sukar dicuci, apatah lagi kena pada kulit muka dan mata.
Menurut Dr Syaz, bulu mata kanak-kanak tersebut terpaksa dipotong kerana semuanya melekat antara satu sama lain.
Tambahnya, kedua-dua belah kelopak mata melekat antara satu sama lain maka usaha dilakukan untuk menghilang gam itu dengan meletakkan gel petroleum khas untuk mata yang perlu disapu pada waktu malam.
“Antara tip hilangkan kesan gam ini pada kulit ialah dengan basuhan air suam dan sabun atau gunakan gel petroleum seperti Vaseline. Tapi disebabkan dekat mata, kami gunakan gel khas yang dibuat untuk mata supaya mata tidak pedih jika gel termasuk dalam mata,” katanya.
Bagaimanapun, Dr Syaz berkata usaha itu tidak berkesan dan menyebabkan kanak-kanak tersebut terpaksa menjalani pembedahan secara bius penuh pada hari berikutnya.
Jelas Dr Syaz, pembedahan itu perlu dilakukan kerana jika dibiarkan kedua-dua mata tertutup dalam tempoh yang lama boleh menjadi punca kepada mata malas dan mengakibatkan penglihatan yang kurang sempurna seumur hidup.
“Alhamdulillah, dalam dewan bedah lebih mudah untuk buang gam pada matanya, kerana pesakit sudah tidak meronta-ronta.
“Ada kecederaan dalam mata kerana gam tersebut masuk ke dalam matanya, tak sempat anak itu nak tutup mata sebab tiba-tiba tertumpah atas mukanya.
“Alhamdulillah pesakit semakin sembuh,” katanya.
Dr Syaz turut memberikan pesan kepada semua orang agar berhati-hati apabila menggunakan gam berkenaan, khususnya apabila terdapat kanak-kanak di sekeliling. -SM